PETALING JAYA: Zurich Malaysia melalui agensi Rangkaian Francais Zurich Teras Legacy merasmikan memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan OKU Sentral (OKU Sentral) bagi menyokong pemerkasaan Orang Kelainan Upaya (OKU) melalui pembangunan keusahawanan.
Konsep yang terbentuk di bawah program Sinar Senyuman Al-Shams itu memudahkan akses perlindungan kewangan takaful kepada OKU selain membuka jalan kepada OKU untuk mempunyai kerjaya yang berjaya dalam perkhidmatan kewangan takaful.
Zurich Malaysia dan Teras Legacy akan membimbing dan melengkapkan OKU dengan kemahiran yang diperlukan manakala OKU Sentral menyokong program ini dengan menyediakan kepakaran dan pengetahuan mereka dalam melatih OKU.
Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, teras utama program tersebut adalah memperkasa OKU untuk menerokai kerjaya yang mungkin tidak difikirkan sebelum ini.
“Kaji selidik menunjukkan OKU berisiko menjadi miskin kerana kekurangan peluang penyertaan sosial serta ekonomi. Pada realitinya, OKU terpaksa menghadapi cabaran yang lebih untuk mendapatkan perlindungan dan pekerjaan.
“Untuk berjaya, kita mesti memfokuskan perkara selain perlindungan, iaitu mempergiatkan usaha untuk melibatkan OKU dalam bidang ekonomi. Sebagai wakil OKU di Dewan Negara, saya menghargai penyertaan Zurich Malaysia dan Teras Legacy dalam menyokong OKU untuk pembangunan yang lebih inklusif,” katanya dalam kenyataan.
Sinar Senyuman Al-Shams juga menjamin penerimaan permohonan OKU berdaftar ke dalam pelan perlindungan Zurich Takaful Al-Shams, termasuk mereka yang mempunyai penyakit kritikal yang sedia ada, penyakit kongenital atau tidak layak untuk menerima perlindungan daripada sumber lain.
Ciri Penerimaan Terjamin memudahkan proses untuk golongan OKU kerana ia tidak memerlukan pemeriksaan kesihatan semasa memohon pelan takaful ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful, Nazrul Hisham Abd. Hamid berkata, pihaknya berusaha untuk memberi impak positif yang berkekalan dalam komuniti, termasuk OKU yang merupakan ahli masyarakat yang sama penting.
“Kami ingin menyokong usaha mereka untuk berdikari dan mendapatkan perlindungan. Program Sinar Senyuman Al-Shams ini membantu OKU menjalani kehidupan yang bermakna dan seterusnya menyumbang kepada pembinaan negara.
“Kami menyediakan sumber untuk membantu OKU yang berminat melakarkan kerjaya dalam perkhidmatan kewangan takaful. Inisiatif ini selaras dengan kepercayaan kami bahawa setiap rakyat Malaysia berhak mendapat perlindungan dan masa depan yang lebih cerah,” ujarnya. – UTUSAN