PETALING JAYA: UOB Malaysia mengumumkan ia telah menyediakan kemudahan pembiayaan perdagangan hijau di bawah Rangka Kerja Pembiayaan Perdagangan Hijau dan Mampan UOB kepada IOI Corporation Berhad (IOI), syarikat global terkemuka dalam minyak sawit bersepadu dan mampan di Malaysia.
Kemudahan itu akan membantu syarikat mempromosikan minyak sawit mampan sambil mengukuhkan rantaian bekalan minyak sawit mampan global.
Amalan IOI yang bertanggungjawab dan mampan, termasuk amalan pertanian yang baik, pengeluaran minyak sawit mampan dan penyumberan bertanggungjawab minyak sawit mampan, menyerlahkan tanggungjawab korporat dan komitmen teguh kumpulan.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, sebagai institusi kewangan, UOB memahami peranan kritikal yang dimainkan dalam menyokong syarikat mencapai sasaran dan aspirasi berkaitan kemampanan mereka.
“Ke arah matlamat ini, kami telah berkongsi kepakaran tentang bagaimana mereka boleh menggunakan produk dan penyelesaian kewangan mampan kami untuk merangsang usaha kemampanan mereka.
“Pendekatan kolaboratif itu membantu mendorong pembiayaan hijau yang lebih besar di pasaran selain menggalakkan lebih banyak perniagaan berkembang secara bertanggungjawab.
“IOI telah mengambil langkah penting untuk mengurangkan risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya seperti amalan agronomik keseluruhan yang baik sambil membina lebih banyak rantaian bekalan yang berdaya tahan.
“Di samping itu, kami berharap bahawa kemudahan pembiayaan perdagangan hijau ini juga akan menyokong aliran perdagangan global minyak sawit, yang merupakan eksport utama bagi Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Kemudahan pembiayaan perdagangan hijau yang diberikan kepada IOI akan disalurkan ke arah penyumberan minyak sawit diperakui dalam menyokong perniagaan pembuatan berasaskan sumber hiliran dan juga aktiviti rakan kongsi perniagaan syarikat.
Aktiviti perniagaan bersepadu IOI terdiri daripada perladangan huluan sehingga pembuatan berasaskan sumber hiliran, yang termasuk penapisan minyak sawit serta pembuatan oleokimia dan juga minyak dan lemak khusus. Semua ladangnya di Malaysia diperakui oleh RSPO dan MSPO.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif IOI Corporation Berhad, Datuk Lee Yeow Chor berkata, sebagai salah satu syarikat global terkemuka dalam minyak sawit bersepadu dan mampan, IOI menyasar untuk menerajui pengeluaran minyak sawit yang mampan dan mendahului usaha penyumberan minyak sawit yang dihasilkan secara mampan.
“Kemudahan pembiayaan perdagangan hijau UOB menyokong matlamat kami untuk mempromosikan minyak sawit yang mampan selain mengembangkan jejak hijau kami ke arah pelepasan sifar bersih.
“Kami akan terus bekerjasama dengan pembekal dan rakan kongsi perniagaan yang bertanggungjawab dalam pelbagai bahagian perniagaan kami untuk mengukuhkan lagi rantaian bekalan minyak sawit mampan global,” katanya. – UTUSAN