Pasaran kenderaan pelbagai guna (MPV) yang sesuai untuk seisi keluarga semakin meluas. Ada juga yang menginginkan kenderaan mereka boleh digunakan untuk perniagaan, mempunyai ruangan yang luas untuk mengangkut produk-produk mereka tetapi pada masa yang sama, mampu memberi satu imej yang tidak hanya terikat sebagai sebuah kenderaan komersial.
Kenderaan MPV juga kini mempunyai pelbagai jenis dan ‘status’ kerana wujudnya jenis-jenis mewah atau eksklusif, dengan bantuan elektronik pada prestasi enjin dan kawalan kenderaan. Nama-nama seperti Alphard, Estima dan Vellfire sudah menjadi sinonim dengan masyarakat.
Bagi mereka yang menginginkan MPV sebagai kenderaan utama, beberapa faktor kemestian adalah dari segi ruang dalaman, bilangan tempat duduk, sistem bantuan keselamatan pemanduan dan prestasi enjin, serta sistem hiburan yang mampu menyukakan terutama anak-anak dalam perjalanan yang panjang dan lama. Ini jelas terbukti apabila terdapat beberapa model MPV yang mempunyai rekaan pintu yang berbeza antara model dan jenama yang ditawarkan.
PENAMPILAN
Toyota Innova dilihat cuba memberi pilihan untuk para peminat segmen ini apabila memperkenalkannya versi facelift pada pasaran awal 2022. Saiznya yang besar dan ruang kabin dalamannya sangat mengujakan, memberikan satu perasaan menaiki MPV mewah, sama ada memandunya atau hanya menjadi penumpang.
Bumper hadapan, gril dan lampu LED cukup menampakkan saiz Innova ini. Untuk variasi 2.0X, barisan tempat duduk kedua tidak bersambung seperti kebanyakan MPV lain. Toyota melabelkan dua tempat duduk berasingan di barisan kedua ini sebagai captain seats yang lengkap dengan tempat meletak lengan. Ini sekali gus mengurangkan kapasiti penduduk kepada hanya 7 penumpang keseluruhan iaitu dua di depan, dua di barisan tengah dan tiga di barisan ketiga.
Ruang kabin yang luas dan tempat duduk di barisan kedua memberi keselesaan dan terdapat meja lipat seperti dalam kapal terbang. Ruang pendingin hawa juga terletak cantik pada bumbung tengah dihiasi dengan lingkaran lampu LED biru yang sangat menarik.
Bagi yang tidak mampu berpisah daripada telefon bimbitnya, ruang pengecas jenis USB didatangkan pada Innova ini terletak pada bahagian hadapan dan juga dipasang untuk kemudahan penumpang di barisan ketiga.
Ruang kerusi di bahagian belakang boleh dilipat sekiranya tidak digunakan, sama ada untuk memberikan satu estetika ruang luas, atau keinginan mengangkut lebih banyak beg dan barangan dengan kapasiti yang cukup besar. Bagaimanapun, kedudukan lipatan kerusinya ke dinding tepi kiri dan kanan bahagian belakang Innova, bagi saya agak mencacatkan pandangan terhadap ruang dalamannya. Alangkah lebih sempurna sekiranya dua kerusi di belakang ini mampu disembunyikan atau dilipat sama rata dengan lantai kenderaan, sekali gus menjadikan rupa bentuknya lebih luas dan kemas.
Selain ruang dalamannya yang cukup luas dan selesa, sistem hiburannya juga agak seronok untuk dikupas. Skrin sesentuh yang terletak di tengah-tengah papan pemuka mampu diguna dengan mudah serta membolehkan untuk dipadankan dengan telefon bimbit anda, sama ada untuk kebolehan menjawab panggilan secara handsfree, atau untuk mendengar lagu-lagu dalam simpanan telefon anda. Skrin berukuran sembilan inci lengkap dengan sokongan Android Auto atau Apple CarPlay dipadankan kepada enam corong speaker.
PEMANDUAN
Kalau ingin pergi secara lebih teliti, Innova ini mempunyai banyak fasiliti yang mampu dinikmati oleh keseluruhan penumpang yang sedang berada di dalamnya. Namun, dari segi prestasi enjin, saya sedikit hairan tentang sistem gear CVTnya. Jika memandu pada tetapan biasa, untuk menggerakkan Innova ini daripada keadaan statik, enjinnya agak mengaum di awal pemecutannya, begitu juga apabila memotong kenderaan. Walaupun anda berupaya membuat pilihan pada tiga mod pemanduan iaitu Mod Biasa, Mod Ekonomi dan Mod Sport. Menggunakan mod sport, ia mampu ‘melonjakkan’ kenderaan dengan lebih pantas dan berkuasa, tetapi kesannya dapat dilihat apabila tolok penunjuk bahan api turun dengan agak drastik berbanding ketika pemanduan di mod biasa. Saya berpendapat, sekiranya Innova didatangkan dengan soft turbo untuk membantu kuasa pecutannya, akan menyelesaikan masalah tersebut.
Mempunyai enjin 2.0cc N.A. seolah-olah tidak mencukupi untuk memberikan daya tujahan kenderaan ini. Bakal pemilik Innova sudah tentu tahu bukan keperluan mereka untuk memandu dengan kadar kelajuan tinggi di lebuh raya tetapi kebanyakan mereka hanya memerlukan pick up ketika keluar simpang, memotong kenderaan atau bergerak daripada keadaan statik ketika lampu isyarat bertukar hijau. Toyota harus menyelesaikan masalah ini kerana tidak semua sanggup menyelenggara atau menanggung kos cukai jalan dan insurans sebuah MPV berkapasiti besar (2.5 – 3.0cc).
Kestabilan ketika mengambil selekoh adalah seperti kebanyakan MPV lain. Namun kebolehannya menyerap hentakan atau permukaan jalan yang tidak rata adalah sangat baik, dan kedudukan pemanduannya tidak jauh berbeza daripada memandu kereta biasa kerana tombol melaras ketinggian, sudut sandaran, jarak daripada pedal dan stereng pada tempat duduk pemandu boleh dilaras secara elektronik.
Sekiranya anda pentingkan faktor-faktor keselamatan pada kenderaan anda, Innova didatangkan dengan tujuh beg udara, sistem VSC, ABS, EBD, bantuan pemberhentian, sensor parkir serta skrin memaparkan pandangan panoramik dan 360 darjah. Ruang pemasangan kerusi kanak-kanak juga telah tersedia. Untuk versi 2.0X ini, cermin pandang sisinya lengkap dengan sensor amaran kenderaan berdekatan.
KESIMPULAN
Toyota Innova boleh dirumuskan dengan tiga ciri iaitu ruang kabin luas, eksklusif dan keluarga. Menepati keperluan seseorang yang inginkan sebuah kenderaan MPV untuk membawa seluruh ahli keluarganya pada waktu serentak. Menginginkan suasana dan rupa fizikal kenderaan mahal, eksklusif dan mewah tanpa terbeban dengan harga pasaran MPV ‘kayangan’. Harga pasaran untuk Innova 2.0X adalah sekitar RM141,880. Innova jelas menjanjikan ruang kabin yang luas dan keselesaan untuk para penumpangnya dalam perjalanan sekeluarga. Faktor ini sangat-sangat membezakan Innova dengan lain-lain MPV yang berada di pasaran.