PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan RM350 juta potensi rundingan jualan daripada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 termasuk 20 peratus pelawat asing seperti penganjuran tahun lalu.
SIBS 2022 edisi keenam itu akan berlangsung pada 6 hingga 9 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan lebih 850 gerai itu turut menyasarkan kira-kira 30,000 pengunjung dalam acara fizikal pertama selepas pandemik Covid-19.
Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, SIBS 2022 akan menjadi peluang untuk mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai satu destinasi pelaburan pilihan yang kompetitif di Asia.
“Penganjuran ini akan membuka jalan kepada pelbagai syarikat untuk memperkenalkan produk mereka kepada pelabur tempatan dan antarabangsa selepas pembukaan sempadan banyak negara.
“Tahun lalu walaupun dijalankan secara hibrid, ekspo perdagangan antara terbesar dunia ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kira-kira RM217.6 juta potensi rundingan jualan. Oleh itu, kami yakin dapat menarik lebih ramai prospek pelabur seterusnya mencapai sasaran,” katanya dalam majlis pelancaran tiga bulan promosi kempen bas bersama RapidKL, baru-baru ini.
Chang Khim berkata, ekspo tahun ini turut memfokuskan industri makanan dan minuman (F&B) seperti Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) yang diadakan lapan tahun lalu.
Ujarnya, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menerokai bidang elektrik dan elektronik sebagai cabang baharu berikutan terdapat permintaan dari beberapa negara.
“Sebelum ini daripada industri F&B, kita luaskan kepada bidang perubatan, jadi selepas ini kita akan luaskan ekspo ini kepada bidang E&E termasuk tenaga solar.
“Itu memang strategi kita untuk memperluaskan bidang dalam satu ekspo supaya semua perdagangan dapat dijalankan di Selangor. Kita ada satu asas kukuh untuk terus berkembang sebagai satu hab antarabangsa,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari berkata, majoriti gerai telah habis dijual dan pada tahun ini SIBS akan mempunyai pavilion negeri dari Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, SIBS juga akan mengalu-alukan peserta daripada pasaran utama seperti Filipina, India, Indonesia dan Vietnam,” katanya. – UTUSAN