PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mencatatkan peningkatan Hak Trafik Udara (ATR) sebanyak 210 peratus pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Menurut kenyataan, MOVCOM menerima sebanyak sebanyak 32 permohonan pada suku terbabit, meliputi 28 laluan udara antarabangsa dan empat laluan udara domestik, peningkatan permohonan ATR sebanyak 47.6 peratus berbanding suku pertama tahun ini.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, peningkatan ketara itu didorong pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia pada April serta inisiatif syarikat penerbangan mengembangkan rangkaian antarabangsa mereka sejajar dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa oleh negara-negara lain.
Katanya, lonjakan tersebut juga dipacu lagi oleh keputusan syarikat-syarikat penerbangan untuk meneroka sektor-sektor baharu dalam usaha untuk mengukuhkan rangkaian penerbangan mereka.
“Ini dilihat dengan permohonan ATR untuk beberapa laluan udara baharu dari lapangan terbang sekunder di Malaysia, iaitu dari Johor Bahru dan Pulau Pinang, ke destinasi-destinasi di ASEAN.
“Terdapat juga peningkatan dalam kekerapan kapasiti penerbangan ke Australia dan New Zealand oleh syarikat penerbangan Malaysia, melalui kebebasan udara kelima dari Indonesia ke Australia, serta Australia ke New Zealand,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, MAVCOM terus komited dalam peranannya sebagai pengawal selia komersial dan ekonomi industri penerbangan awam di Malaysia dalam usaha melakar arah tuju dalam tempoh pasca pandemik.
“MAVCOM berbesar hati dan menyokong keputusan syarikat penerbangan untuk meneroka sektor baharu sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan mereka dengan pemberian kelulusan ATR bagi laluan-laluan baharu.
“Ini termasuk laluan seperti Pulau Pinang ke Denpasar, Phnom Penh dan Pekanbaru dan juga Johor Bahru ke Phnom Penh, Pekanbaru dan Kualanamu,” ujarnya.
Sementara itu, Saripuddin berkata, MAVCOM telah meluluskan 31 daripada 32 permohonan ATR yan diterima, yang menunjukkan kadar kelulusan sebanyak 96.8 peratus.
Dalam pada itu, ATR bagi sektor kargo pula mencatat penurunan marginal iaitu hanya 29 peratus daripada jumlah ATR yang dikeluarkan Suruhanjaya pada suku terbabit, berbanding 90 peratus daripada jumlah ATR pada suku kedua 2021. – UTUSAN