PETALING JAYA: Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyeru juruaudit mengukuhkan kualiti audit mereka dalam menangani persekitaran perniagaan yang mencabar.
Berdasarkan Laporan Pemeriksaan Tahunan 2021 AOB yang dikeluarkan hari ini, juruaudit dinasihatkan untuk meningkatkan kewaspadaan mereka terhadap risiko berikutan persekitaran perniagaan yang tidak menentu.
Jelas AOB, tumpuan harus diberikan kepada bidang seperti risiko penipuan, urus niaga pihak berkaitan dan pengurusan mengambil alih kawalan.
AOB turut menggesa firma audit untuk mengukuhkan pengurusan bakat dan menyediakan program pembinaan kapasiti yang mencukupi dan berterusan merentasi pelbagai peranan dan peringkat bagi menghasilkan audit yang lebih berkualiti.
Pengerusi AOB, Datuk Anantham Kasinather berkata, kapasiti dan kecekapan bakat amalan audit kekal sebagai salah satu petunjuk utama kualiti audit.
“Firma audit harus mempertimbangkan penyelesaian jangka masa panjang terhadap kadar kemerosotan bakat yang tinggi dengan penerimagunaan teknologi yang dipercepatkan sebagai pertimbangan utama, di samping usaha yang lebih bersepadu ke arah kepelbagaian jantina yang lebih baik dan penggalakkan budaya kerja audit yang positif,” katanya dalam kenyataan.
Laporan tersebut menegaskan penemuan utama pemeriksaan AOB terhadap 14 firma audit, meliputi 45 rakan kongsi dan 54 tugasan audit pada tahun 2021.
Di samping pemeriksaan bagi mengukuhkan lagi proses pemantauannya, AOB terus menjalankan semakan pemantauan luar lokasi untuk 118 tugasan audit dengan menganalisis laporan juruaudit dan pendedahan yang dibuat dalam Laporan Tahunan
dan penyata kewangan teraudit syarikat tersenarai awam (PLC) masing-masing.
Menggabungkan pendekatan berasaskan data untuk Firma Audit Utama, pemeriksaan AOB memberi fokus pada bidang yang berpotensi mempunyai risiko lebih tinggi yang boleh menjejaskan strategi keseluruhan audit, peruntukan sumber serta tahap usaha dan perhatian yang diberikan oleh juruaudit semasa audit.
Menyedari kepentingan budaya firma audit dalam kualiti audit itu sendiri, AOB pada tahun lepas telah memulakan kajian tematik terhadap budaya Firma Audit Utama.
“Walaupun Firma Audit Utama telah berjaya dalam kebanyakan bidang yang dinilai, cabaran mereka kini adalah untuk mengekalkan kualiti audit yang tinggi dan konsisten merentas semua tugasan kerana lima daripada enam Firma Audit Utama
mempunyai sekurang-kurangnya satu penglibatan yang memerlukan penambahbaikan yang signifikan.
“Di samping itu, sesetengah firma audit boleh diperbaiki dari segi mempertingkatkan budaya positif dalam firma audit, terutamanya dalam membina kepercayaan yang lebih besar dalam firma audit,” jelasnya. – UTUSAN