Volvo V60 T8 – Kereta hebat dengan imej wagon - Utusan Malaysia

Volvo V60 T8 – Kereta hebat dengan imej wagon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERETA wagon kebiasaannya mempunyai tempat menyimpan barangan yang sangat luas dan selalunya dimiliki golongan peniaga yang tidak mahu menggunakan van. Volvo mula menarik dan mengubah perhatian peminat empat roda apabila mula mengeluarkan versi wagon tetapi dengan enjin berkuasa, serta meneruskan kegemilangan faktor-faktor keselamatan yang sememangnya diketahui ramai pada kereta-kereta Volvo.

Kini, Volvo melangkah setapak lagi apabila menampilkan varian wagon ini, tetapi mempunyai karakter yang hampir sama dengan versi sedan sports S60. Variasi wagon ini sudah tidak lagi tampak sebagai kereta untuk golongan lebih berusia tetapi kini lebih menjurus kepada mereka yang menginginkan keselesaan membawa keluarga tetapi masih dahagakan prestasi sebuah kereta sports.

PENAMPILAN

Terus terang, saya akan agak berat sebelah dalam kupasan pandu uji kali ini kerana saya seorang peminat wagon sports. V60 ini ternyata mampu menarik minat sesiapa sahaja, tak kira anda seorang peminat tegar sedan sports atau jenis wagon. Ini kerana, jika diletakkan bersebelahan dengan versi sedan sports Volvo, S60, ternyata yang paling ketara perbezaan mereka adalah bahagian belakangnya yang jauh lebih lebar dan panjang. Selebihnya, ia mempunyai fizikal dan kemasan yang hampir sama.

Rekaan gril Volvo serta logo besar di tengah gril tersebut menampakkan lagi keteguhan kereta ini di jalan raya.  Lampu hadapannya pula yang mempunyai sepasang LED seakan simbol tukul Thor, watak Avengers, yang diperkenalkan pada varian generasi kedua Volvo XC90 pada 2016.

LAMPU hadapan seakan bentuk tukul Thor, watak komik Marvel.

Jika anda bergerak ke sisi V60 ini, anda akan kagum melihat roda berukuran 19 inci serta tayar berprofil rendah. Ketinggian wagon ini seolah-olah sudah ditala untuk pemanduan sporty yang mana akan sangat dihargai oleh pemandu-pemandu sports tegar. Bukan hanya itu, tayar yang digunakan juga adalah daripada jenama Michelin Pilot Sports (235/40-R19).

Pada sisi belakang T8 ini, anda bakal teruja dengan ruang luas yang menjadi imej jentera ini. Ruang penyimpanan seluas 529 liter telah tersedia menyimpan barangan, dibandingkan dengan S60 yang hanya seluas 442 liter. Anda akan melihat emblem atau logo V60 ini di sebelah kiri dan logo “T8 AWD Recharge” di sebelah kanan, yang mana ini mengesahkan bahawa V60 ini tergolong dalam kumpulan kereta Volvo yang dipacu oleh enjin turbo berkembar 2.0 liter yang menghasilkan jumlah kuasa sebanyak 407 PS pada kadar 5,700 rpm dan 640 Nm tork pada kadar 1,200 ke 5,400. Kotak gear automatik lapan kelajuan dan pacuan keempat-empat roda adalah sebagai keluaran standard.

Sebagai tarikan terakhir dari segi penampilannya, ruang bumbungnya boleh diakses untuk bukaan panoramik dan memberikan sedikit ruang kelegaan kepada mereka yang ingin kan cahaya matahari dan angin masuk ke ruang kabin dalam. 

Sekiranya akan mula masuk ke ruang kabinnya, punggung anda akan berlabuh pada tempat duduk yang disaluti oleh kulit hitam dan saya juga dimaklumkan ada versi salutan kulit berwarna perang kemerah-merahan.  Kemudian mata anda akan tertumpu pada sistem hiburan dan informasi dengan skrin sentuh bersaiz 9.7 inci. Jelinglah pada speaker radio di kiri kanan pintu dan pada ruang papan depan yang berjenama Harman Kardon, yang sudah tentu menjamin kualiti bunyi yang terbaik.

Panel konsol ditengah dipenuhi dengan suis-suis dan tombol yang seolah-olah sudah menjadi kemestian pada kereta-kereta koontinental baharu dan sudah mula diikuti oleh pembuat kereta-kereta Jepun. Selain kebolehan mengemudi fungsi-fungsi elektronik enjin dari konsol tengah ini, anda juga berkebolehan menggunakan butang-butang yang terdapat pada stereng yang akan ‘terangkat’ dengan sendirinya setiap kali anda memulas penghidup enjin. 

PEMANDUAN

Apabila memulas tombol penghidup enjin V60 ini, tiada sebarang bunyi kedengaran dan hanya paparan meter TFT yang menunjukkan grafik jarum penunjuk bergerak ke kanan dan kembali ke posisi asal di sebelah kiri. Oleh kerana saya tidak berapa pasti adakah enjin sudah dinyalakan atau tidak, saya menutup dan membukanya sekali lagi. Saya ulangi tindakan ini buat kali ketiga, dan hanya pada ketika ini saya mencuba mengundurkan kenderaan untuk keluar petak parkir. V60 ini menggunakan sistem jana elektriknya untuk menggerakkannya daripada kedudukan statik. Saya teruskan pemanduan keluar dari parkir bangunan untuk keluar ke jalan raya. Masih lagi, saya tidak mendengar sebarang bunyi enjin (mekanikal) sehingga saya terpaksa buka tingkap sisi untuk mendengar bunyi enjin. 

Menyangkakan V60 ini bergerak dengan hanya menggunakan kuasa eletrik seperti pandu uji kumpulan media terhadap XC40 yang baru dilancarkan beberapa bulan lalu, tidak dapat dinafikan saya menjadi agak tidak keruan kerana bimbang kehabisan kuasa di tengah jalan. Namun, pada bahagian meter terdapat penunjuk kapasiti bahanapi dan ini bermakna V60 ini adalah versi hibrid atau pun menggunakan dua jenis tenaga untuk beroperasi (tenaga elektrik dan petrol).

Seperti kenderaan dari negara Eropah yang lain, terutamanya daripada golongan kereta-kereta sports misalannya, bantuan elektronik pada sistem keselamatan pemanduannya menjadi satu kemestian yang perlu ada. V60 juga mempunyai kebolehan pintar dalam menentukan supaya anda tidak tersasar daripada lorong pemanduan yang sepatutnya, kebolehan bantuan parkir yang selain mempamerkan visual kamera hadapan, depan, belakang dan 360 darjah, serta penentuan penjarakan antara anda dan kenderaan di hadapan. 

But belakang yang luas

Satu lagi bantuan elektronik yang saya sendiri telah dengan tidak sengaja mengalaminya ialah pemberhentian secara drastik terhadap ancaman kedatangan kenderaan atau halangan. Saya ingin mengundurkan V60 ini tetapi secara tiba-tiba muncul satu motosikal yang dipandu laju di bahagian belakang kenderaan. Sensor V60 ini secara pantas mengesan bahaya yang datang daripada motosikal tersebut dan membrek kenderaan secara automatik. Ini menunjukkan bahawa sistem keselamatan elektronik V60 ini mampu berfungsi sendiri.

Sistem suspensi V60 juga sangat mengujakan apabila ia menyerap permukaan jalan raya yang tidak rata, serta pengendaliannya juga berubah mengikut kelajuan, menjadikan Volvo V60 meneruskan legasi faktor-faktor keselamatan pada jenama ini, selain anda juga kini boleh memandu secara agresif dengan prestasi enjin yang dipertingkatkan.

KESIMPULAN

Ketika diumumkan penampilan versi CKD (dipasang dalam negara) harga jualannya tanpa cukai jalan dan insurans, adalah RM286,909 iaitu RM4,000 lebih mahal daripada versi S60. Walau bagaimanapun, harga jualan ini adalah termasuk jaminan lima tahun tanpa had jarak serta jaminan lapan tahun atau 160,000km terhadap bateri hibrid kereta ini. Juga disarankan, V60 ini diservis pada setiap 20,000km.

Apabila faktor harga tersebut ditolak tepi, pakej yang ditawarkan oleh kenderaan ini ternyata begitu mengujakan. Sudah tentu, ia bukan untuk semua golongan, tetapi sekiranya anda mampu, pilihan terhadap Volvo V60 ini mampu memberikan bukan sahaja kepuasan dari segi kapasiti barangan atau penumpang, namun prestasi pemanduan, sokongan elektronik dan yang paling penting, sumbangan anda terhadap penjagaan alam sekitar apabila terdapat pengurangan pergantungan semata-mata kepada bahan bakar tradisional, iaitu petrol. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya