Untung bersih suku ketiga Top Glove merosot - Utusan Malaysia

Untung bersih suku ketiga Top Glove merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan bersih pengeluar sarung tangan getah Malaysia, Top Glove Corp Bhd. bagi suku ketiga berakhir 31 Mei 2022 merosot 82.53 peratus suku ke suku kepada RM15.29 juta, daripada RM87.55 juta dalam suku sebelumnya.

Ini kerana permintaan bagi peralatan perlindungan peribadi berkurangan berikutan peralihan dunia kepada fasa endemik.

Hasil bagi suku tersebut, bagaimanapun, tidak berubah pada RM1.46 bilion daripada RM1.45 bilion pada suku kedua 2022.

Pada asas tahun ke tahun, keuntungan bersih pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu berkurangan sebanyak 99.25 peratus daripada RM2.04 bilion pada suku sama tahun sebelumnya, manakala hasil menyusut sebanyak 64.52 peratus daripada RM4.16 bilion.

Top Glove dalam kenyataan berkata, prestasi tersebut disebabkan kos pengeluaran meningkat akibat inflasi global dan apabila konflik Rusia-Ukraine menaikkan harga minyak mentah.

“Selain itu, kumpulan berdepan dengan kenaikan tarif gas asli dan elektrik, serta pelaksanaan gaji minimum yang berkuat kuasa 1 Mei 2022. Kos yang semakin meningkat mengakibatkan pemampatan margin, kerana kumpulan tidak dapat memindahkan kos sepenuhnya di tengah-tengah situasi lebihan bekalan yang berlebihan.

“Bagaimanapun, ASP menurun pada kadar lebih perlahan yang akan membantu mengurangkan kesan kos pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Prestasi pendapatan suku tahunan yang suram mengheret keuntungan bersih terkumpulnya untuk sembilan bulan berakhir 31 Mei 2022 kepada hanya RM288.56 juta, iaitu penurunan 96.03 peratus daripada RM7.26 bilion tahun lalu.

Hasil kumulatif dalam tempoh tersebut juga turun 68.52 peratus tahun ke tahun kepada RM4.5 bilion daripada RM14.29 bilion.

Mengulas mengenai keputusan kumpulan itu, Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow berkata, ini adalah masa yang amat mencabar bagi industri sarung tangan dan keputusan suku tahunan tidak mencerminkan prestasi perniagaan biasa syarikat, berikutan trend normalisasi yang berterusan ditambah dengan ketidakseimbangan permintaan bekalan. 

“Bagaimanapun, kami akan terus menekankan asas kami iaitu menghasilkan produk berkualiti pada kos yang cekap walaupun berdepan masa sukar,” katanya.

Melangkah ke hadapan, dengan mengambil kira permintaan yang menyederhana, kumpulan itu telah menangguhkan dan mengurangkan perbelanjaan modal utamanya untuk jangka masa terdekat bagi menyelaraskan rancangan pengembangannya dengan keadaan pasaran.

Top Glove menjangkakan persekitaran perniagaan yang mencabar akan berterusan dalam jangka masa terdekat, tetapi menekankan keadaan itu adalah bersifat sementara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya