PETALING JAYA: UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota) mencatatkan jualan 7,442 unit kereta Toyota dan 137 unit kereta Lexus pada Mei, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan yang dijual jenama itu pada tahun ini sebanyak 36,972 unit atau sembilan peratus lebih tinggi berbanding 34,026 unit tahun lalu.
Jumlah jualan sebanyak 7,579 unit itu adalah lebih tinggi berbanding 6,946 unit yang direkodkan pada April.
UMW Toyota berkata, prestasi tersebut dicapai walaupun terdapat jangkaan jualan kenderaan di negara ini perlahan sepanjang tahun.
Katanya, ia berikutan masalah kekurangan semikonduktor global yang menyukarkan pengeluar kereta untuk meningkatkan pengeluaran mereka dan memenuhi permintaan.
“Selain itu, penyambungan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) selepas Jun ini juga akan menjejaskan jualan.
“Namun, mungkin ada yang ingin mengambil kesempatan penetapan harga sebelum pelaksanaan semula SST dan ini akan membantu meningkatkan jualan,” menurut kenyataan itu.
Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata, sokongan daripada pelanggan sentiasa menjadi dasar syarikat untuk mengutamakan pelanggan selain sentiasa menghulurkan bantuan dalam masa tidak menentu ini.
“Kami komited menawarkan keyakinan berterusan terhadap produk dan keupayaan servis, disokong oleh teknologi termaju automotif dan ciri-ciri keselamatan semua produk kami,” ujarnya.
Meneruskan promosi bulanan, UMW Toyota menawarkan manfaat bernilai RM4,000 kepada peminat Yaris dan Vios.
Bulan ini juga, pencinta Toyota akan mendapat penjimatan pertengahan tahun serta rebat tunai dan penjimatan cukai jualan. – UTUSAN