PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan membangunkan satu lagi penyambungan terus bekalan elektrik daripada Grid Nasional ke Pulau Pinang melalui penghantaran talian atas dari tanah besar semenanjung, bagi mengekalkan kestabilan bekalan elektrik di pulau mutiara itu pada masa depan.
Projek menara penghantaran monopole sepanjang 8.5 kilometer (km) yang bakal menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Stesen Janakuasa (SJ) Perai ke PMU The Light di Pulau Pinang itu dibina selari dengan jambatan Pulau Pinang dan adalah yang kedua seumpamanya di negara ini.
Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir Husaini Husin berkata, projek untuk memperkukuhkan bekalan elektrik di Pulau Pinang ini menelan belanja lebih RM500 juta, dijangka siap menjelang hujung 2024 dan bakal menjadi mercu tanda ikonik Pulau Pinang melalui menara talian penghantaran unik dengan reka bentuk buah pinang.
Menurut beliau, projek berkenaan memastikan kapasiti sistem bekalan sedia ada tidak terjejas apabila satu-satunya stesen janaelektrik (SJ) di pulau berkenaan iaitu SJ Gelugor dengan kapasiti penjanaan 300MW, dijadualkan tamat kontrak perkhidmatan pada akhir 2024.
“Permintaan beban puncak di pulau ini pernah mencecah 777.85MW yang direkodkan pada Januari 2020 berbanding kapasiti sistem bekalan sedia ada sebanyak 1,130 MW.
“Kami mahu memastikan kapasiti ini stabil apabila SJ Gelugor tamat perkhidmatannya,” katanya dalam kenyataan.
Projek talian atas monopole pertama TNB sudah siap dibangunkan sepanjang 4.2km yang menghubungkan Pantai Siring ke Pulau Besar Melaka dan kerja-kerja penyiasatan tanah bagi projek kedua itu sedang dijalankan di kawasan laut berhampiran dengan Jambatan Pulau Pinang.
Katanya, semua aktiviti projek yang bakal dijalankan tidak akan memberi impak negatif kepada alam sekitar berikutan kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) telah dijalankan dengan terperinci dan mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar.
“Ia adalah sebahagian daripada pelaburan berterusan TNB dalam membangunkan serta memodenkan Grid Nasional menjadi grid pintar yang stabil serta berdaya harap dalam memenuhi keperluan peralihan tenaga negara,” ujarnya.
Pelaburan semula daripada hasil perniagaan TNB ini menjadi serampang dua mata iaitu menjamin kecekapan dan daya harap rangkaian bekalan elektrik untuk dinikmati pelanggan, di samping mewujudkan kegiatan yang menyuntik kepada pemulihan ekonomi negara, lebih-lebih lagi dalam pasca pandemik Covid-19.
Apabila siap kelak, ia adalah talian keempat menghubungkan Grid Nasional ke Pulau Pinang. Tiga talian terdahulu adalah kabel dasar laut 132kV dari SJ Prai-SJ Gelugor yang dimulatugas pada 1978; 132kV kabel bawah jambatan (1989) dan 275kV kabel dasar laut dari PMU Juru-PMU Bayan Lepas (1995).
Menurut Husaini, kaedah penghantaran talian atas monopole adalah solusi paling lestari menyalurkan bekalan dari Grid Nasional ke pulau berkenaan dengan mengambil kira aspek kewajaran kos, keselamatan, kecekapan dan kestabilan bekalan termasuk dari segi kepantasan mengesan sebarang kerosakan atau gangguan.
“Semua elemen tersebut menjadikan pelaksanaan projek ini juga menterjemahkan komitmen TNB terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Kerja-kerja pembinaan menara di dalam air juga tidak akan memberi impak kepada lalu lintas di jambatan Pulau Pinang.
“Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan projek talian atas ini mengikut perancangan TNB berdasarkan unjuran permintaan bekalan elektrik di Pulau Pinang sehingga tahun 2030.
“Kerja-kerja fizikal yang merangkumi pembinaan tapak asas menara, pemasangan struktur menara serta kerja-kerja merentang pengalir dijangka akan bermula pada penghujung 2022,” jelasnya. – UTUSAN