Tempahan Perodua Alza baharu dibuka - Utusan Malaysia

Tempahan Perodua Alza baharu dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perodua mula membuka tempahan untuk Perodua Alza baharu dengan penambahbaikan ketara dari segi keselesaan pemanduan dan lebih versatile.

Dengan harga tentatif antara RM62,000 dan RM75,000, Perodua Alza baharu menyediakan ruang yang lebih luas untuk penumpangnya dan pada masa yang sama meningkatkan kestabilan pemanduan kerana kenderaan pelbagai guna (MPV) itu direka khusus untuk pemandu dan jalan raya Malaysia.

Tersedia dalam tiga varian, X, H dan AV, Perodua Alza baharu didatangkan dalam lima warna iaitu Ivory White, Glittering Silver, Garnet Red, Elegant Black dan Vintage Brown.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya mengambil masa dalam merekabentuk model baharu ini kerana benar- benar ingin memahami kehendak para pelanggan.

“Satu daripada permintaan mereka adalah pengalaman pemanduan yang lebih baik. Untuk itu, kami telah menambah baik Ground Clearance Perodua Alza baharu kepada 160 milimeter (mm), ketinggian terbaik untuk pemanduan Malaysia yang menyenangkan untuk sebuah MPV.

“Perodua Alza baharu itu mempunyai ruang yang lebih besar berbanding pendahulunya, terutama sekali di barisan ketiga ruangan kenderaan serta unit penyaman udara bahagian belakang.

“Selain itu, potensi kecekapan bahan api juga telah dipertingkatkan sehingga 22 kilometer (km) seliter, yang juga antara yang terbaik dalam kelasnya,” katanya dalam kenyataan.

Untuk ruang penyimpanan, Perodua Alza baharu mempunyai kapasiti bagasi sebanyak 137 liter dan 498 liter jika tempat duduk barisan ketiga dilipatkan.

Antara ciri keselamatan standard model baharu ini termasuk enam bag udara, ABS dengan EBD, kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dengan bantuan brek dan sensor belakang untuk membantu meletakkan kereta.

Perodua Alza baharu itu turut didatangkan dengan suit Bantuan Pemanduan Pintar Perodua (PSDA) yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu Bantuan Keselamatan Termaju (ASA), Bantuan Pemandu, Bantuan Tempat Letak Kereta dan Bantuan Lampu Hadapan.

Ciri-ciri terkini bagi model Perodua termasuk pandangan panoramik 360 darjah, brek letak kereta elektronik dengan pegangan brek auto, brek cakera belakang dan mod pemanduan baharu iaitu normal, eko dan kuasa.

Selain itu, Perodua Alza baharu menyeragamkan ciri Bantuan Keselamatan Lanjutan (ASA) dalam semua varian. Ini termasuk,  Amaran Pra-perlanggaran, Brek Bantuan Pra-Perlanggaran (untuk kenderaan dan pejalan kaki), Kawalan Operasi Salah Pedal dan Makluman Berlepas Hadapan.

Semua varian juga mempunyai sistem Amaran Berlepas Lorong dan Pencegahan Berlepas Lorong. Sebagai bonus tambahan, semua varian juga akan dilengkapi dengan fungsi Bantuan Lampu Depan Rumah dan Bantuan Permulaan Bukit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya