Pulau Pinang sambut baik pelaburan IHG perkenal hotel jenama mewah InterContinental Penang Resort - Utusan Malaysia

Pulau Pinang sambut baik pelaburan IHG perkenal hotel jenama mewah InterContinental Penang Resort

Yeoh Soon Hin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN : Pemeteraian perjanjian antara IHG Hotels & Resorts (IHG) dengan usahasama THR Hotel (Penang) Sdn. Bhd., anak syarikat kepada pemilik hotel utama di Malaysia, Tradewinds Corporation Berhad untuk mentransformasikan Mutiara Beach Resort Pulau Pinang di Teluk Bahang, kepada resort mewah menunjukkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap industri pelancongan Pulau Pinang.

Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) negeri, Yeoh Soon Hin berkata, keyakinan dan kepercayaan pelabur terhadap sektor pelancongan di Pulau Pinang kembali meningkat walaupun diselubungi kesan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

”Pulau Pinang telah menunjukkan daya tahan mampan untuk sektor pelancongan dan sektor ini berupaya bangkit semula dengan lebih baik, malah berkembang maju selepas pandemik Covid-19.

”Kerajaan negeri mengalu-alukan pelaburan untuk membangunkan semula hotel berkenaan dan ia menunjukkan Pulau Pinang sentiasa menjadi pilihan pelabur termasuk untuk membangunkan industri pelancongan di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di Komtar di sini hari ini.

Semalam, syarikat pelopor perhotelan dunia, IHG Hotels & Resorts (IHG) meng­umumkan pemeteraian perjanjian ke atas InterContinental Penang Resort dengan usahasama THR Hotel (Penang) Sdn. Bhd., anak syarikat kepada pemilik hotel utama di Malaysia, Tradewinds Corporation Berhad.

Kerjasama itu bakal menyaksikan IHG memperkembangkan portfolio mewah dan gaya hidup­nya di Malaysia dengan meng­ubah Mutiara Beach Resort Pulau Pinang di Teluk Bahang, kepada resort pantai mewah di bawah jenama IHG.

Bakal dibuka pada 2025, InterContinental Penang Resort yang terletak bersebelahan perkampungan nelayan Teluk Bahang, Taman Negara Pulau Pinang dan Taman Herba Tropikal Pulau Pinang akan menawarkan pengunjung pemanda­ngan Selat Melaka yang menampilkan pantai pasir putih, air hijau jernih dan latar belakang hutan gunung untuk pe­lancong.

Di Malaysia, IHG ketika ini mempunyai enam hotel di bawah tiga jenama iaitu InterContinental, Holiday Inn dan Holiday Inn Express.

Menurut Soon Hin, dengan kehadiran jenama IHG di negeri ini, ia adalah setanding dengan visi Wawasan Pulau Pinang2030 dan Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang untuk memartabatkan industri pelancongan Pulau Pinang.

”Dalam peralihan kepada fasa endemik, Pulau Pinang telah menarik pelaburan antarabangsa dengan pantas.

”Ia menunjukkan Pulau Pinang adalah destinasi pelaburan makmur yang memanfaatkan ekosistem pelancongan yang terbaik untuk pelancong dalam dan luar negara,”katanya.

Dalam pada itu, katanya, memandangkan sektor pelancongan dan hospitaliti berkembang pesat, kerajaan negeri akan terus komited menarik pelaburan baharu bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan di Asia Tenggara.

”Kami akan meneliti strategi bersama beberapa agensi untuk meneroka peluang baharu dalam jangka panjang yang menambah nilai kepada ekosistem pelaburan dan pelancongan di Pulau Pinang,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya