PROTON lancar X70 2022 - Utusan Malaysia

PROTON lancar X70 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PROTON telah melancarkan Proton X70 2022 dengan gaya diperbaharui dan pilihan baharu untuk pembeli yang mencari kenderaan utiliti sukan (SUV) yang menawarkan peningkatan prestasi dalam kecekapan bahan api. 

SUV terlaris di Malaysia kini diperkenalkan dengan enjin suntikan terus 1.5L TGDi, pengecas turbo, yang merupakan alternatif kompak baharu kepada enjin 1.8L TDGi yang biasa.

Pandangan sisi belakang

Ia menawarkan lima varian iaitu 1.5 TGDi Standard 2WD pada harga bermula RM93,900, 1.5 TGDi Executive 2WD (RM105,500), 1.5 TGDi Executive AWD (RM111,300), 1.5 TGDi Premium 2WD (RM117,900) dan 1.8 TGDi Premium 2WD (RM121,800).

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah berkata, X70 mengekalkan kedudukannya sebagai SUV segmen C terlaris sejak dilancarkan. 

“Lebih 70,000 unit telah terjual dan hari ini, kami telah mengemas kini penggayaan dan enjin 1.5L TGDi untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada bakal pembeli. 

“Ia menjanjikan tahap prestasi yang sama dengan varian 1.8L TGDi di samping peningkatan prestasi dalam kecekapan bahan api yang dapat memenuhi keinginan pelanggan kami untuk memiliki sebuah SUV yang bukan sahaja menyerlah dalam prestasi, ciri dan tarikan estetik, tetapi juga mampu dimiliki dan dikendalikan,” katanya dalam kenyataan.

Dikemaskini dengan teknologi dan inovasi enjin terkini, enjin 1.5L TGDi telah dikaji selama lima tahun dan melibatkan lebih dari 100 pakar utama dalam kerjasama global dan menjalani ujian lebih 12 juta kilometer dalam keadaan dan iklim yang paling ekstrem dan tertekan.

Enjin yang sangat dipercayai dan terbukti di pasaran itu telah merekodkan lebih 750,000 unit di jalan raya di seluruh dunia dan boleh didapati di 22 negara dengan cuaca dan keadaan jalan raya yang pelbagai.

Dengan kecekapan lebih tinggi bagi setiap silinder dan enjin yang lebih padat, pilihan yang sesuai bagi pemandu milenium yang kontemporari, enjin 1.5L TGDi mencapai pengeluaran kuasa maksimum 177PS dan tork 255Nm, mencapai kemuncaknya lebih awal pada 1500rpm. 

Berbanding dengan enjin 1.8L TGDi, terdapat pengurangan 7.0 peratus dalam penggunaan bahan api pada kitaran bandar. 

Pelanggan mempunyai pilihan untuk memilih varian AWD, dilengkapi dengan Pacuan Empat Roda pintar masa nyata, yang secara automatik memindahkan tork ke roda belakang berdasarkan permintaan, disamping menambah baik pengendalian mengikut keadaan jalan yang berbeza-beza.

Tambah Roslan, enjin 1.5L TGDi dibina di Tanjung Malim, di barisan pengeluaran baharu yang memenuhi piawaian kualiti yang ketat yang mandatori bagi antara enjin pemasangan tempatan yang paling canggih di Malaysia.

“Pemasangan tempatan enjin 1.5L TGDi mempamerkan komitmen PROTON terhadap penyelidikan dan pembangunan automotif bagi generasi akan datang, serta keupayaan pengeluaran kami,” ujarnya.

Pilihan warna luaran untuk Proton X70 2022 adalah Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ruby Red, Cinnamon Brown dan Space Grey, ditawarkan mengikut varian yang dipilih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN