Jenama ini sememangnya dikaitkan dengan eksklusif, berkualiti, berprestasi dan juga khas untuk golongan ‘kayangan’ atau berada. Walaupun terdapat beberapa model BMW yang boleh dikatakan mampu milik, namun harga alat ganti dan servisnya seringkali lebih tinggi daripada kebanyakan model-model dari Jepun apatah lagi model-model tempatan.
Namun, BMW sedaya upaya mencuba untuk membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mencapai keinginan mereka untuk memiliki jentera daripada Jerman ini. Dengan kebolehan untuk pemasangan dalam negara (CKD), harga jualan jentera-jentera seperti ini dapat dikurangkan dengan agak drastik.
BMW X7 ini adalah satu daripada model-model yang dapat dijual dengan penurunan harga yang agak drastik akibat daripada proses pemasangan dalam negara. Jika pada 2020, BMW X7 XDrive 40i ini terjual pada harga sekitar RM700,000 seunit, kini, ia dijual pada harga RM100,000 lebih murah. Berharga RM 650,805.00 tanpa cukai jalan dan insurans, menjanjikan pandu uji kali ini ternyata menjanjikan pengalaman memandu lain daripada yang lain.
PENAMPILAN
Ayuh kita sentuh dulu rupa bentuk fizikalnya. Gril hadapan berbentuk buah pinggang atau “kidney” model-model terkini BMW dilihat datang dengan saiz yang besar dan begitu prominen dalam penampilannya. Mungkin jika diukur dari pandangan teknikal atau kejuruteraan, gril yang besar ini membolehkan aruhan angin masuk dan sekali gus membantu dari segi penyejukan enjin. Adat manusia, ada yang tidak menggemari langsung perubahan ini dan tidak kurang juga merasakan rekaan terkini gril BMW ini lebih ‘garang’ daripada model-model terdahulu.
Lampu hadapan X7 adalah jenis “lazer light”, iaitu lampu-lampu LED yang begitu terang, serta rekaan futuristiknya begitu menyerlah. Apabila anda memandunya pada waktu malam, suluhannya amat terang dan menyeluruh. Malah, limpahan cahayanya juga dapat dilihat sehingga ke bahu jalan.
Model SUV CKD ini, masih lagi didatangkan dengan ‘powertrain’ atau trenkuasa dijana enjin petrol 6-silinder sebaris, 3.0 liter lengkap dengan 340hp dan tork 450Nm. Kebolehan pecutan 0-100kmj adalah sepantas 6.1 saat diagihkan ke keempat-empat roda melalui kotak gear 8 kelajuan automatik. Ia menjadikan SUV 7 tempat duduk ini, sebuah jentera yang serius dari segi penampilan dan juga prestasi enjin.
Untuk menguraikan sistem elektronik yang turut menjadi sebahagian daripada kebolehan jentera BMW X7 ini, ia dalam satu senarai yang amat panjang. Cukuplah sekiranya saya membariskan beberapa kebolehannya: steering boleh laras secara elektronik (sama ada pelarasan tahap ketinggian steering atau pelarasan lebih jauh atau lebih dekat dengan papan pemuka kenderaan), kulit yang menyaluti ketujuh-tujuh kerusi jentera ini ternyata berkualiti tinggi, penyaman udara lima zon, sistem bunyi berjenama Harman Kardon dengan 16 pembesar suara, tirai atau ‘shades’ elektrik untuk tingkap sisi, dan bumbung panoramik Roof Sky Lounge serta sistem hiburan untuk penumpang belakang yang dapat dilihat dengan pemasangan skrin-skrin sentuh di belakang tempat duduk barisan hadapan.
Mata anda juga bakal tertumpu pada roda bersaiz 21 inci yang tampak begitu tegap dan sekali gus melengkapkan pakej sebuah jentera SUV/SAV yang lengkap dari segala sudut penampilannya.
PEMANDUAN
Sebaik sahaja anda berada di dalam kabin X7 ini, tidak dapat disangkal bahawa anda sedang berada di satu tahap yang lain. Suasana ‘gelap’ yang datang daripada warna balutan kulit tempat-tempat duduk, bumbung dalaman, serta panel pintu-pintunya, dikontraskan dengan warna-warna lampu-lampu LED yang datang daripada panel meter TFT berwarna, skrin sentuh sistem hiburan dan informasi utama, barisan cahaya biru lembut daripada garisan LED di bahagian pintu-pintunya serta, panel navigasi dan panel kawalan yang bercahaya pada setiap butang atau suis. Kadang-kadang, terasa seperti anda seorang juruterbang, kerana sistem-sistem kawalannya berada di sekeliling pemandu seperti di kiri dan kanan stering, di panel tombol belakang stering, di konsol kawalan kiri pemandu untuk pilihan sistem pemanduan dan pacuan serta suis kawalan yang berada pada bahagian bumbung hadapan.
Setelah anda mampu membiasakan diri dengan keadaan dalaman X7, menghidupkan enjinnya sahaja sudah cukup mengujakan apabila anda dapati terdapat mode-mode pemanduan yang boleh dipilih secara elektronik seperti pemanduan sport, pemanduan keselesaan, pemanduan ‘bijak’ (penggunaan petrol dan juga elektrik mengikut keperluan pemanduan), pemanduan adaptif dan satu lagi opsyen yang berlabel otomatik H.
Tombol gearnya sahaja seperti sebuah tombol kristal yang tampak begitu unik serta ‘mahal’ dan walau hanya mempamerkan 3 kedudukan (R,N,dan D), namun X7 ini mempunyai 8 tahap transmisi untuk dipadankan dengan keperluan pemandunya.
Kawalan Stabiliti Dinamiknya bagi saya agak mengelirukan pada awalnya, kerana seperti SUV ini sedang ‘membaca’ keadaan jalan raya ketika mula bergerak daripada keadaan statik, menyebabkan anda terasa ia seperti beralun mengikut permukaan jalan. Selepas beberapa saat, perasaan ini hilang dan kestabilan kenderaan terus dirasakan sepanjang pemanduan. Kemampuan memproses data daripada sistem navigasi dan kamera disekelilingnya dapat memberikan anda bantuan dari segi keluar masuk parking, atau pun ketika dalam pemanduan terutamanya di dalam kesibukan dan kesesakan jalan raya. Terdapat banyak bantuan pemanduan pintar yang saya sendiri tidak sempat menguji kesemuanya akibat kekangan masa, namun cukup saya katakan bahawa X7 ini mampu ‘memandu’ sendiri dengan anda hanya sebagai ‘patung’ di belakang stering tersebut sekiranya keseluruhan bantuan pemanduan elektronik ini digunakan.
Seperkara tentang keselesaan bagi pemandu dan penumpang (kesemua 7 penumpangnya) amat menjadi keutamaan bagi BMW. Ruang kaki sama ada di bahagian barisan kedua agak luas dan selesa, namun apa yang mengagumkan saya, walau sedikit kecil berbanding ruang kaki barisan kedua, barisan ketiga X7 ini masih lagi mampu memuatkan dua orang dewasa, dan selain ruang kaki yang boleh diterima, tempat duduk barisan ketiga ini juga boleh menikmati fungsi ‘tingkap bumbung’ panoramik yang tidak terdapat pada kenderaan lain.
Bantuan-bantuan elektronik pemanduan pada X7 ini tidak perlulah saya ketengahkan di sini kerana ia sudah menjadi tradisi pada BMW dalam model-model yang dijual semenjak tiga tahun kebelakangan ini. Bantuan pemanduan dalam lorong, bantuan penjarakan dengan kenderaan hadapan ketika dalam pemanduan, bantuan penyelarasan ketinggian/suspensi, bantuan pemberhentian ketika kecemasan, beg-beg udara, serta sistem pengaliran udara dan pendingin juga kini menjadi kemestian dalam mana-mana model eksklusif BMW.
KESIMPULAN.
Sudah beberapa kali saya memilih tajuk untuk artikel ini. Tetapi saya kerap kembali menggunakan tajuk tersebut kerana, bukan semata-mata harga jualannya yang boleh dikatakan dapat membeli dua unit rumah teres dua tingkat di Lembah Klang, tetapi juga sistem bantuan elektroniknya yang begitu menyeluruh dari segi keselamatan. Dalam pada itu, walau padat dengan sistem-sistem sedemikian, X7 ini masih mempunyai ruang untuk dilengkapi dengan prestasi dan kebolehan enjin yang menakjubkan ketika sesi pemanduannya.
Fahamlah saya kenapa model ini diberi nama X-Drive 40i – Pure Excellence. Ternyata, anda bukan sahaja bakal tertarik dengan rupa bentuknya yang walaupun hampir serupa dengan SUV BMW yang lain, namun hanya dengan logo “X7” dan “X-Drive 40i” di bahagian belakang kenderaan ini, anda tahu anda akan memandu sebuah kenderaan yang serba lengkap dari segala segi dan terasa seperti anda sebahagian daripada golongan kayangan di Malaysia. – UTUSAN