PETALING JAYA: Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun 2020 turut memberi kesan kepada rangkaian perdagangan antarabangsa dengan eksport Malaysia sangat terjejas ekoran penurunan sebanyak 25.5 peratus pada tahun tersebut berbanding tahun sebelumnya, sementara import pula merosot sebanyak 30.4 peratus.
Walau bagaimanapun suku kedua 2020 membawa berita positif untuk negara apabila perdagangan luar Malaysia menunjukkan prestasi yang lebih baik.
Salah satu penyumbang penting kepada pemulihan ini adalah pengangkutan maritim negara.
Sumbangan sektor pengangkutan maritim sangat signifikan kerana ianya adalah kaedah pengangkutan terkenal di Malaysia dan kira-kira 98 peratus perdagangan negara adalah melalui laut.
Namun begitu, pandemik Covid-19 telah menjejaskan faktor asas yang mempengaruhi kecekapan operasi pelabuhan.
Antara yang dikenal pasti adalah pengendali pelabuhan belum menggunakan sepenuhnya teknologi yang ada untuk memaksimumkan kecekapan dan produktiviti yang boleh menyumbang kepada pengurangan kos.
Akibatnya, operasi tidak diselaraskan, dan pertukaran data sepanjang rantaian bekalan tidak lancar.
Dalam mempercepatkan perdagangan antarabangsa, kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan pertumbuhannya.
Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12), 2021-2025 menampilkan ‘transformasi ekosistem logistik untuk kecekapan yang lebih tinggi’ sebagai salah satu pengubah permainan (“game changer”).
Pendigitalan rentas rantaian bekalan maritim melalui penyepaduan elemen Revolusi Perindustrian (IR) 4.0 adalah antara strategi yang boleh membawa banyak faedah kepada sektor tersebut.
Ekosistem yang lebih cekap boleh dicapai dengan memperkemas operasi dan memudahkan pertukaran data yang lebih pantas dan tepat di seluruh rantaian bekalan.
Dalam jangka panjang, peralihan digital dalam sektor ini boleh membawa kepada peningkatan dalam pertumbuhan perdagangan antarabangsa.
Pendigitalan rantaian bekalan maritim juga datang tepat pada masanya kerana peningkatan e-dagang berada di kemuncaknya disebabkan oleh sekatan pergerakan semasa pandemik.
Di samping itu, kapasiti pelabuhan perlu diperluas dan ditambah baik untuk memanfaatkan keadaan semasa supaya dapat menguruskan kapasiti pengendalian kontena yang lebih besar.
Sebagai pangkalan pemindahan kapal yang sentiasa berkembang di ASEAN, Malaysia sedang mengkaji rancangan strategik untuk mengembangkan dan menaik taraf pelabuhannya untuk mengekalkan daya saingnya di rantau ini.
Melalui pelbagai agensi dan platform, Kerajaan terus membantu dan memberikan sokongan kepada sektor ini melalui insentif fiskal dan bukan fiskal.
Lebih penting lagi, Kerajaan mengiktiraf peranan pemain industri untuk mengembangkan segmen pengangkutan maritim ke arah persekitaran perniagaan yang lebih inklusif dan saling menguntungkan kerana sebagai pintu masuk penting kepada perdagangan antarabangsa, pelabuhan dan perkhidmatan pengangkutan perlu didigitalkan lagi dan dipertingkatkan untuk mempercepatkan perdagangan global Malaysia.
Pelaksanaan teknologi tinggi diterjemahkan kepada hasil yang mampan seperti pelabuhan atau terminal yang lebih mesra alam, penggunaan bahan api rendah karbon dan sistem amaran awal yang boleh mengurangkan kesilapan dan menjimatkan masa.
MIDA menyokong penggunaan teknologi termaju dan sentiasa bersedia untuk menyokong pemain industri maritim tempatan dan antarabangsa.
Untuk maklumat lanjut, sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Bahagian Perkhidmatan Minyak dan Gas, Maritim dan Logistik MIDA atau layari www.mida.gov. my.