SHAH ALAM: Singapura menjadi penyumbang terbesar kemasukan pelancong asing ke negara ini selepas pintu sempadan negara dibuka kepada sektor pelancongan pada 1 April lalu apabila lebih 1 juta rakyatnya melancong ke Malaysia.
Malah, dalam dua bulan lalu dianggarkan 600,000 hingga 700,000 penduduknya sudah pun masuk ke negara ini untuk bercuti dan angka terkini dijangka melepasi 1 juta pelancong.
Lonjakan berkenaan menjadi faktor kepada peningkatan ketara kemasukan pelancong asing ke negara ini yang menghampiri sasaran 2 juta pelancong asing menjelang hujung 2022.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukry berkata, antara faktor menyumbang kepada peningkatan pelancong asing adalah pelaksanaan dasar terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang mudah serta pembukaan lebih luas sektor ekonomi seperti restoran dan hotel.
Tetapi, memadailah sekarang mencapai lebih separuh daripada apa yang disasarkan, sekarang ini Jepun sedang melihat untuk membuka sempadannya kepada kita kemudian India, kita optimis boleh capai 2 juta pelancong tahun ini.
Negara lain juga seperti Korea Selatan dan Iran sedang memohon untuk membuka sempadannya kepada kita. Peningkatan juga disumbang oleh dasar seperti pematuhan SOP yang bersifat mengalu-alukan kedatangan mereka. Tiada kuarantin, ujian saringan, tidak wajib mengambil insurans dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan kempen #GoJalanLah dan Livery Firefly oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama syarikat penerbangan Firefly yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Philip See.
Kempen tersebut menyaksikan tawaran pakej pelancongan termasuk hotel dan penerbangan bersama Firefly pada harga diskaun sehingga 35 peratus yang boleh ditempah melalui laman www.fireflyz.com.my sehingga 30 Jun bagi perjalanan sehingga 31 Disember tahun ini.
Malah, orang ramai juga boleh menikmati penerbangan dua hala ke semua destinasi kendalian Firefly pada harga bermula RM188.
Menurut Philip See, Firefly bersedia menyokong inisiatif kerajaan dalam menyemarakkan pelancongan domestik khususnya penawaran tiket penerbangan serta promosinya yang menyeluruh di platform media sosial.
“Kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif ini. Dengan pelancaran ‘Livery’ yang menggarapkan elemen Cuti-Cuti Malaysia, kami berharap dapat memberikan lebih inspirasi dan pendedahan dalam mempromosikan pelbagai tarikan pelancongan serta keunikan destinasi dalam negara,” ujarnya.
Pelancaran kempen tersebut menyaksikan badan pesawat Firefly dihiasi dengan logo Cuti-Cuti Malaysia serta sambutan ulang tahun ke-50 Tourism Malaysia. – UTUSAN