Kilang TF-AMD Microelectronics dijangka siap suku pertama 2023 - Utusan Malaysia

Kilang TF-AMD Microelectronics dijangka siap suku pertama 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN : Bangunan kilang baharu syarikat semikonduktor, TF-AMD Microelectronics Sdn. Bhd. di Taman Perindustrian Batu Kawan, dekat sini yang dibina khusus untuk mengembangkan lagi pelan perniagaan syarikat berkenaan dijangka siap pada suku pertama tahun depan.

Dengan modal pelaburan hampir RM2 bilion, kemudahan kilang kedua syarikat berkenaan di Pulau Pinang  dijangka mewujudkan lebih 3,000 pekerjaan baharu dalam kejuruteraan semikonduktor, reka bentuk dan teknologi proses untuk penyelesaian pengkomputeran berprestasi tinggi.  

Pengembangan strategik itu dilaksanakan berdasarkan pelaburan besar yang telah dibuat oleh TF-AMD di Malaysia sepanjang 50 tahun yang lalu yang akan menyokong pertumbuhan berterusan syarikat.  

Pengarah Urusan merangkap Naib Presiden Korporat TF-AMD, Neoh Soon Ee berkata, pelaburan menerusi kilang baharu berkenaan menandakan permulaan lembaran baharu dalam usaha mereka untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik dan bermutu tinggi kepada pelanggan.

”Kemudahan kilang baharu ini berkeluasan 1.5 juta kaki persegi dibina di atas tanah kira-kira 14 ekar, akan mengeluarkan advance integrated circuit technology.

”Setelah siap, kemudahan itu akan menjadikan jumlah kapasiti pengeluaran TF-AMD kepada lebih 2.3 juta kaki persegi,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman pelaburan oleh TF-AMD Microelectronics Sdn. Bhd. di Bayan Lepas, di sini semalam.

Dalam pada itu, Pengerusi TF-AMD, Shi Ming Da berkata, pihaknya berbesar hati meraikan ulang tahun ke-50 TF-AMD di Pulau Pinang dan pada tahun sama mengembangkan pelaburan di negeri ini.

”Malaysia dikurniakan lokasi geografi yang selamat, persekitaran perniagaan yang baik, tenaga kerja yang rajin dan ia mengukuhkan keyakinan kami untuk pelaburan berterusan di sini.

”TF-AMD mempunyai momentum pertumbuhan dalam industri semikonduktor dan menjadi antara pembekal perkhidmatan pemasangan dan ujian terbaik dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang gembira melihat TF- AMD yang merupakan pemain global terkemuka dalam bidang teknologi tinggi, semakin mengembangkan operasinya di negeri ini. 

”Dengan kehadiran yang menjangkau setengah abad, saya yakin bahawa pelan pengembangan strategik ini akan menyediakan peluang yang besar untuk pembangunan bakat tempatan dalam prestasi tinggi dalam bidang pengkomputeran,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri melalui InvestPenang dan agensi negeri lain yang berkaitan, komited untuk mengatasi jangkaan pelabur dengan menyediakan kemudahan berterusan sepanjang projek pembesaran ini.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya