SUNGAI PETANI: Kafe Milla Hana Pulut Kedah yang berpangkalan di Tikam Batu, dekat sini melangkah maju dalam perniagaan makanan berasaskan durian apabila membuka sebuah cawangan terbaharu di Taman Cempaka, Amanjaya, di sini.
Cawangan baharu yang terletak di lokasi membangun membabitkan pelaburan mencecah RM400,000, membuktikan kejayaan dan kesungguhan pengasasnya dalam usaha mengetengahkan perniagaannya ke peringkat yang lebih tinggi.
Pengasasnya, Roslan Abd. Razak, 52, berkata, bandar Amanjaya dipilih sebagai lokasi cawangan baharu perniagaannya itu berikutan kedudukannya yang strategik dan menjadi lokasi tumpuan orang ramai.
Menurut Roslan, lokasi kafe cawangan baharu yang berdekatan dengan Plaza Tol Sungai Petani Utara dan pusat perniagaan serta beberapa lokasi pelancongan di daerah itu memberi kelebihan untuk menarik lebih ramai pelanggan.
Beliau berkata, cawangan Kafe Milla Hana Pulut Kedah ini juga mengekalkan konsep moden dengan menyediakan ruang makan berhawa dingin dan ruang luar yang boleh memuatkan seramai 150 pelanggan dalam satu masa.
Katanya, antara menu yang disajikan adalah set pulut durian dengan pelbagai variasi pilihan durian, set pulut mangga, pelbagai jenis cendol serta lebih 10 menu sampingan berasaskan durian.
“Untuk set pulut durian, pelanggan boleh pilih untuk makan bersama durian kampung, durian kahwin, musang king, durian hitam atau lain-lain.
“Selain itu, kita juga ada lebih 10 menu sampingan berasaskan durian seperti lemang dan ketupat seri kaya durian, durian crepe, ais krim durian popia durian wrap dan pelbagai lagi.
“Semua hidangan dijual dengan harga serendah RM3 hingga RM39 dan sempena musim buah ini, kita juga ada menjual buah-buah tempatan di bahagian luar kafe ini.
“Selain itu, kita juga ada perancangan untuk menambah beberapa lagi menu berasaskan durian nanti,” ujarnya ketika ditemui pada majlis perasmian dan pembukaan kafe baharunya, baru-baru ini.
Tambahnya, sebagai permulaan kafe tersebut akan beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 10 malam. – UTUSAN