PETALING JAYA: Jaguar Land Rover Malaysia melancarkan Jaguar XF baharu yang telah memenangi anugerah dan mendapat sambutan memberangsangkan di seluruh dunia kerana prestasi pemanduan cemerlang dan dinamik.
Kini, Jaguar XF telah dinaik taraf dengan reka bentuk luar yang menarik dan kemasan dalaman yang serba mewah.
Model mewah terbaharu sedan XF ini memperlihatkan gaya bentuk hadapan yang diubah suai dengan gril baru yang menggalakkan pengambilan udara pada paras lebih rendah, lampu depan LED dengan ciri eksklusif Double J dan bumper belakang dengan rupa yang lebih anggun dan moden.
Dengan reka bentuk ruang dalaman yang lebih dinamik, pemandu akan menikmati keselesaan dan kemewahan sedan ini.
Pengarah Urusan, Bahagian Peruncitan dan Pengedaran, Sime Darby Motors Malaysia, Jeffrey Gan berkata, pihaknya berusaha menawarkan kenderaan bertaraf dunia yang memenuhi keperluan dan keinginan rakyat Malaysia yang pelbagai.
“Justeru, Jaguar XF dibina sebagai sedan mewah bersaiz sederhana yang terbaik dalam kelasnya serta terkenal atas prestasi luar biasanya.
“Dengan pertumbuhan berterusan dalam pasaran kereta mewah, kami yakin bahawa model terbaru ini pasti menarik perhatian pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, ia dilengkapi dengan konsol tengah yang lebih bergaya yang bercantum ke papan pemuka, dan turut dilengkapi dengan pengecas tanpa wayar.
Di papan pemuka, pemandu boleh menggunakan skrin sentuh HD kaca melengkung bersaiz 11.4 inci berlandaskan teknologi maklumat hibur Pivi Pro terkini.
Skrin yang tiga kali lebih cerah dan 48 peratus lebih besar daripada model terdahulu membolehkan pemandu melihat dengan lebih jelas dan memanfaatkan struktur menu ringkas yang memudahkan akses kepada fungsi umum daripada skrin utama menggunakan maksimum dua sentuhan.
Dengan tahap keterhubungan yang lebih baik menerusi Apple CarPlay atau Android Auto, pemandu boleh menghubungkan telefon pintar mereka kepada skrin sentuh tersebut dan menggunakan aplikasi yang serasi dalam masa beberapa saat.
Ciri-ciri lain yang disediakan termasuk teknologi Active Road Noise Cancellation yang boleh mengurangkan bunyi persekitaran yang didengar oleh penumpang bagi memastikan perjalanan yang lebih tenang.
Sementara itu, Pengarah Urusan Jaguar Land Rover Malaysia, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata, dengan warisan unggul sebagai kereta berprestasi tinggi, Jaguar XF baharu terus mencorak semula kemewahan moden.
“Dengan reka bentuk penuh inspirasi, teknologi terkini yang intuitif dan dinamik yang menarik, kami berbesar hati untuk sekali lagi menyampaikan pengalaman pemanduan kenderaan kami yang lebih baik kepada pelanggan,” ujarnya.
Jaguar XF baharu ini boleh didapati dalam versi R-Dynamic dengan tawaran harga yang bermula dari RM498,800 (dengan 10 peratus SST tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans). – UTUSAN