Harga semua bahan binaan meningkat - Utusan Malaysia

Harga semua bahan binaan meningkat

HARGA semua bahan binaan meningkat berbanding tahun lalu, dengan bar keluli meningkat 20 peratus dengan harga purata bar keluli sebanyak RM3,910 setiap tan metrik berbanding RM3,258 per tan metrik pada Mei 2021. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga semua bahan binaan mencatatkan peningkatan berbanding setahun lalu dan akan kekal tinggi dalam jangka sederhana.

Menurut laporan Commodity Markets Outlook oleh World Bank, ia berikutan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan permintaan yang tidak selari dengan pengeluaran

Harga logam diunjurkan meningkat kira-kira 16 peratus pada 2022 berbanding 2021 dan akan berkurangan sedikit pada 2023, tetapi kekal pada tahap yang tinggi. 

Sementara itu, harga nikel dan aluminium dijangka meningkat masing-masing sebanyak 52 dan 38 peratus, mencerminkan peranan luar biasa Rusia sebagai pembekal dalam pasaran serta pengeluaran aluminium yang intensif tenaga. 

Dalam Laporan Indeks Kos Binaan (IKS), Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bar keluli meningkat 20 peratus dengan harga purata bar keluli sebanyak RM3,910 setiap tan metrik berbanding RM3,258 per tan metrik pada Mei 2021.

Ujarnya, simen mencatatkan peningkatan sebanyak 12.2 peratus pada Mei 2022 dengan RM20.89/50 kilogram (kg) berbanding RM18.61/50 kg pada Mei 2021. 

Selain itu katanya, hampir semua bahan binaan lain seperti batu baur, pasir, batu bata dan dinding, bahan bumbung dan bahan siling juga merekodkan peningkatan.

“Indeks harga seunit bahan binaan meningkat antara 4.1 peratus hingga 19.9 peratus. 

“Indeks harga bagi seunit besi dan keratan keluli dan logam telah meningkat masing-masing 19.9 peratus dan 18.1 peratus pada Mei 2022 berbanding Mei 2021 manakala indeks harga bagi seunit simen juga telah meningkat 12.4 peratus bagi tempoh tersebut. 

“Dalam konteks item dan kawasan terpilih, peningkatan tertinggi bagi besi dicatatkan di Miri (35.9 peratus) diikuti oleh Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (29.3 peratus). 

“Sementara itu, indeks harga bagi seunit simen untuk Kuching dan Kota Kinabalu masing-masing meningkat 19.6 peratus dan 17.6 peratus. Kedua-dua batu baur (21.7 peratus) dan pasir (15.1 peratus) juga mencatatkan peningkatan dua digit di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis,” katanya.

Tambah beliau, Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) dengan bar keluli bagi semua kawasan di semenanjung, Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan bagi semua kategori bangunan. 

“Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di semenanjung ialah bangunan (konkrit bertetulang) lima tingkat dan lebih (untuk pejabat) di Perak, diikuti oleh bangunan (konkrit bertetulang) lima tingkat dan lebih (untuk penginapan) di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan. 

“Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Sabah ialah kerangka besi satu tingkat (menara sahaja) di Kota Kinabalu manakala di Sarawak ialah cerucuk konkrit bertetulang di Miri,” katanya.

Dari aspek pengeluaran, laporan World Steel Association (WSA) menyatakan pengeluaran keluli mentah dunia bagi 64 buah negara adalah sebanyak 162.7 juta tan pada April 2022, dengan penurunan sebanyak 5.1 peratus berbanding April 2021. 

Walaupun ketidaktentuan yang disebabkan oleh perang di Ukraine dan penutupan di China, diramalkan permintaan keluli global akan meningkat pada 2022 dan 2023. 

Penggunaan keluli global dijangka meningkat kepada 1.84 bilion tan pada 2022, meningkat 0.4 peratus daripada 2021.

Pada 2023, permintaan keluli diramalkan meningkat 2.2 peratus kepada 1.88 bilion tan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya