Harga bahan api beri tekanan kepada penjanaan elektrik - Utusan Malaysia

Harga bahan api beri tekanan kepada penjanaan elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKTOR penjanaan tenaga elektrik di seluruh dunia mengalami tekanan berikutan peningkatan kos bahan bakar yang memacu turbin stesen janakuasa. Keadaan sama juga berlaku di Malaysia.

Harga arang batu yang menjadi salah satu bahan utama yang digunakan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) bagi menjana elektrik telah meningkat dengan sangat ketara. Lebih 80 peratus daripada elektrik yang dijana di Malaysia menggunakan arang batu dan gas. Justeru syarikat utiliti itu berdepan tekanan kos yang berterusan bagi memastikan negara terus mendapat bekalan mencukupi dan aliran tunai syarikat itu kekal sihat.

Pada akhir tahun lalu harga arang batu telah melonjak kepada AS$200 setiap tan berbanding kira-kira AS$50 setiap tan pada pertengahan 2020.

Pada akhir Mei lalu, harga arang batu terus melonjak sehingga mencapai AS$434 setiap tan, memburukkan lagi kos penjanaan tenaga elektrik kepada TNB. 

Mengikut trend, harga arang batu ketika ini telah meningkat 600 peratus berbanding Mei dua tahun lalu.

Peningkatan harga arang batu disebabkan permintaan tinggi kepada pelbagai mineral termasuk minyak dan gas di seluruh dunia selaras pembukaan ekonomi pasca pandemik. 

Harga minyak dan gas asli sendiri telah meningkat berkali ganda, memberi tekanan kepada semua industri. Kenaikan harga minyak memberi kesan yang juga menyebabkan harga arang batu turut meningkat.

Di Britain yang bergantung kepada gas bagi menjana elektrik menyaksikan pihak berkuasa terpaksa menaikkan tarif elektrik 54 peratus pada April lalu. 

Kerajaan Indonesia juga telah mengumumkan kenaikan tarif elektrik kepada pelanggan bukan isi rumah bermula Julai depan. Langkah itu bagi menangani kenaikan kos yang mendadak.

Di Malaysia, pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) membantu TNB berdaya maju serta mampu menyelaras kesan peningkatan harga bahan api serta penjanaan elektrik selain memastikan tiada gangguan kepada operasi penjanaan.

Menerusi ICPT, berlaku penurunan kos bahan api dan penjanaan, penjimatan itu dikembalikan kepada rakyat sebagai rebat tetapi jika sebaliknya, lebihan kos akan disalurkan kepada rakyat sebagai surcaj ICPT.

Berikutan rangka kerja ini, tekanan kos penjanaan disebabkan kenaikan harga bahan api berjaya diuruskan secara lebih teratur yang membolehkan kos-kos berkaitan bahan api dikaji setiap enam bulan.

Menurut kajian, kenaikan arang batu menyebabkan kos penjanaan elektrik kini meningkat lebih 4.5 kali ganda berikutan arang batu dan gas asli digunakan sebagai bahan api bagi menjana hampir 93 peratus bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia.

Berdasarkan pembahagian, kos penjanaan termasuk bahan api pula membentuk lebih 65 peratus daripada tarif asas elektrik. Syarikat utiliti itu juga terpaksa membelanjakan berbilion ringgit bagi menguruskan sistem bekalan elektrik untuk hampir 10 juta pelanggan.

TNB menegaskan, ICPT membolehkan ia menyelaraskan harga secara fleksibel serta menyumbang kepada pembangunan dan pelaburan semula serta membina industri yang kompetitif dan cekap.

Syarikat utiliti itu berkata, kenaikan harga bahan api adalah fenomena global yang didorong oleh peningkatan permintaan bekalan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi pasca pandemik, isu pencatuan bekalan di negara pengeluar utama akibat kekangan pembekalan pada peringkat domestik, termasuk faktor cuaca yang menjejaskan pengeluaran bahan api ini.

Dalam taklimat kepada media baru-baru ini, syarikat utiliti itu menegaskan bahawa Malaysia menikmati tarif elektrik terendah di rantau ini berikutan pelaksanaan ICPT yang dilaksanakan bagi menggalakkan kecekapan kos dan memastikan kelestarian kewangan dalam menjana elektrik.

Sepanjang ICPT diperkenalkan antara 2015 hingga 2022 di bawah Rangka Kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), mekanisme ini telah memberikan rebat kepada pengguna berjumah RM8.6 bilion dan surcaj sebanyak RM5.3 bilion.

Surcaj bagi menampung peningkatan kos bahan api sahaja berjumlah RM1.67 bilion di bawah ICPT bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

TNB berkata, surcaj 3.7sen/kWj yang dikenakan pada pengguna C&I di bawah mekanisme ICPT adalah bagi menampung kenaikan harga bahan api berjumlah RM1.67 bilion dari Julai ke Disember 2021.

Para penganalisis berpendapat perlu ada surcaj tarif bagi tempoh separuh tahun pertama tahun ini kerana TNB telah mengambil kira kos bahan bakar “under-recovery” berjumlah RM1.3 bilion untuk suku ketiga tahun kewangan 2021.

Kos bahan bakar juga telah melebihi kadar rujukan seperti dinyatakan dalam Lanjutan RP2. Kadar ditetapkan di bawah RP2 untuk harga arang batu AS$67.45 setiap tan dan RM27.20/mmbtu untuk gas. Hari ini, harga arang batu menghampiri AS$400 satu tan.

Menerusi ICPT, rebat atau surcaj diberikan pada setiap enam bulan walaupun perkiraan kos dilakukan setiap tiga bulan.

Seorang penganalisis berkata, terdapat kesan jurang kecairan antara tempoh kedua-dua perkiraan ini dan ini akan memberi tekanan aliran tunai TNB.

Pelarasan ICPT terkini untuk tempoh 1 Februari hingga 30 Jun 2022 membolehkan pengguna domestik di Semenanjung menikmati rebat dua sen bagi setiap kilowatt per jam (kWj) manakala surcaj minimum 3.70 sen/kWj dikenakan terhadap pengguna industri dan komersial.

Tekanan kepada TNB dilihat dalam laporan kewangan suku pertama berakhir 31 Mac 2022 yang mana keuntungan bersih susut 6.84 peratus kepada RM893.1 juga berbanding RM958.7 juta setahun lalu. 

Kos operasi melonjak 46.9 peratus kepada RM13.43 bilion daripada RM9.15 billion, disebabkan kenaikan harga bahan bakar yang diimbangkan menerusi ICPT. 

HLIB dalam satu nota berkata “receivables” TNB lelah melonjak kepada RM14.1 billion untuk suku pertama 2022 berbanding RM10.5 bilion dalam suku keempat 2021 disebabkan kesan jurang masa kelulusan ICPT berjumlah RM1.7 bilion dalam separuh tahun pertama tahun kewangan 2022 berbanding RM4.5 bilion berikutan ketidakseimbangan kos bahan bakar yang diambil kira bagi enam bulan kedua tahun kewangan 2021.

Syarikat penyelidikan itu menjangkakan aliran tunai TNB akan merasai kesan ketidakseragaman antara kos bahan api pass-through dalam tempoh terdekat.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan kerajaan akan terus menghormati mekanisme RP3-ICPT,” kata agensi penyelidik pasaran itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya