Gading Kencana bina ladang solar ketiga bernilai RM120 juta - Utusan Malaysia

Gading Kencana bina ladang solar ketiga bernilai RM120 juta

GUNTONG Tobeng (lima dari kanan) bergambar kenangan bersama Azizah Mohd. Dun (tiga dari kanan) berlatarbelakangkan panel solar di Kompleks Hijau, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebuah lagi ladang solar milik pengendali terbesar di Malaysia, Gading Kencana Sdn. Bhd. (Gading Kencana) bernilai RM120 juta di Bidor, Perak dijangka siap menjelang awal 2024.

Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Guntong Tobeng berkata, ladang solar ketiga itu mampu membekalkan tenaga dengan kapasiti 30 megawatt iaitu kepada 18,000 rumah di sekitar Bidor.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya telah mengeluarkan pelaburan besar bagi pembinaan ladang solar berskala besar bermula di Ayer Keroh dan Bidor dengan kos melebihi RM300 juta.

“Kita telah membangunkan ladang solar kedua di Bidor sebelum ini juga dengan kapasiti 30 megawatt dan ia dapat menyalurkan tenaga dengan kadar bayaran lebih rendah kepada pemilik industri di Perak.

“Atas permintaan itu, kita membangunkan ladang solar ketiga juga tidak jauh dari ladang solar kedua, khususnya untuk pemilik industri seperti kilang simen dan sebagainya,” katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azizah Mohd. Dun ke Kompleks Hijau Solar di Bandar Hijau, Ayer Keroh di sini, semalam.

Gading Kencana mula bertapak pada 2000 melalui Geran Pemasaran dan Promosi Produk (Pusma) bernilai RM20,000 daripada Mara.

Mengulas lanjut, Guntong berkata, ladang solar ketiga akan menggunakan pelbagai peralatan moden seperti robot dan dron, di samping kehadiran 20 tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya tidak bercadang untuk membina sebuah lagi ladang solar di negeri ini bagi meningkatkan kapasiti lapan megawatt sedia ada.

“Kesukaran mencari tanah adalah antara sebab utama kita tidak bercadang untuk membina satu lagi ladang solar yang mula diterokai syarikat ini pada 2014,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya