KOTA TINGGI: Etiqa General Insurans Berhad (EGIB) melangkah setapak lagi apabila melancarkan insurans basikal pertamanya, All Risk-Byke yang direka khas bagi memberi perlindungan terhadap peralatan-peralatan basikal daripada kecurian.
Ketua Pegawai Eksekutif EGIB, Fukhairudin Mohd. Yusof berkata, insurans yang sudah boleh dilanggan orang ramai itu turut melindungi kerosakan dan kerugian akibat kemalangan sehingga nilai perlindungan RM60,000.
Katanya, melalui produk itu, basikal serta bahagiannya yang berusia tidak melebihi tujuh tahun akan dilindungi daripada sebarang kejadian terbabit dengan premium serendah RM65.
“Terdapat peningkatan signifikan dalam bilangan rakyat Malaysia yang menjadikan aktiviti berbasikal sebagai gaya hidup sihat mereka. Melihat fenomena itu, EGIB mengambil peluang untuk menawarkan perlindungan kepada komuniti itu.
“Tambahan pula, sukan tersebut yang bersifat sifar pelepasan karbon selari dengan visi korporat kami iaitu making the world a better place,” katanya ketika pelancaran All Risk-Byke sempena pengajuran L’Etape Malaysia oleh Tour de France di Desaru Coast, baru-baru ini.
Fukhairudin berkata, EGIB bekerjasama dengan YAS bagi memasarkan produk berkenaan memandangkan entiti itu mempunyai jenama yang kukuh dalam kalangan komuniti aktif di negara ini.
Tambahnya, penggabungan kepakaran antara dua pihak itu bertujuan untuk memangkin inovasi produk dan memacu rangkuman kewangan dalam pasaran Malaysia.
“EGIB dan YAS juga memperkenalkan insurans kemalangan peribadi iaitu Actyve yang menggunakan sistem pay as you use di mana perlindungan diberikan berdasarkan aktiviti pengguna yang dilindungi.
“Bagi All Risk-Byke, ia sudah boleh didapati melalui laman sesawang YAS Malaysia bermula Sabtu lalu dan melalui aplikasi mudah alihnya pada Julai ini dengan mudah kerana ia bertepatan dengan komitmen Etiqa untuk memberikan perkhidmatan yang pantas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YAS, Andy Ann berkata, kolaborasi itu membolehkan pihaknya mengambil satu langkah besar dalam merealisasikan perlindungan insurans tanpa had masa dan lokasi.
“Ia juga menguatkan rangkaian pengedaran YAS yang merupakan teras kepada strategi Asia Tenggara syarikat kami iaitu membina produk insurans yang mesra pengguna. Kami percaya produk berinovasi Etiqa dan kekukuhan kewangan mereka akan meningkatan nilai perniagaan kami,” katanya.
Pada perlumbaan basikal amatur L’Etape Malaysia oleh Tour de France yang menghimpunkan lebih 4,700 pelumba, All Risk-Byke turut melindungi kesemua peserta berkenaan yang berkayuh sejauh 60 dan 140 kilometer pada acara itu. – UTUSAN