PETALING JAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan mengambil tindakan kolaboratif dan bekerjasama dengan penerima pelaburannya dalam peralihan ke arah model perniagaan yang lebih mampan berdasarkan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, syarikat di dalam portfolio Khazanah adalah pelbagai dan pihaknya mengambil pendekatan memahami dan merancang peralihan dan menyokong mereka untuk beralih ke arah model perniagaan mampan.
“Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna kami ‘santai’ mengenainya. Sebaliknya, kami akan menuntut tindakan pantas dan kesungguhan untuk peralihan tersebut.
“Ini akan menjadi satu-satunya cara bagi memastikan syarikat portfolio kami kekal berdaya saing dan berdaya tahan terhadap cabaran yang dihadapi, serta memastikan mereka memanfaatkan peluang perniagaan yang mendapat manfaat daripada penerapan ESG,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan majlis pelancaran Rangka Kerja & Sasaran Kemampanan Khazanah: Melabur dalam Peralihan yang Mampan 2022.
Menurut beliau, Rangka Kerja Kemampanan Khazanah digubal secara holistik dan mengambil kira tiga pertimbangan utama ESG serta menumpukan kepada isu yang memberi kesan paling ketara kepada perniagaan daripada perspektif organisasi dan portfolio.
“Bagi melaksanakan suatu tindakan yang koheren berkaitan kemampanan, pihaknya akan mengguna pakai pendekatan yang menyeluruh merangkumi segala aspek berkaitan tindakan yang kami ambil sebagai pelabur yang bertanggungjawab, organisasi yang mampan serta warga korporat yang baik.
“Ini bermakna kemampanan akan diterapkan dalam setiap tindakan kami, daripada cara kami menguruskan pelaburan, kepada kaedah beroperasi sebagai sebuah firma, sehinggalah kepada pendekatan kami dalam menyokong dan menyumbang kepada objektif pembangunan masyarakat di negara ini,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kementerian yakin kedua-dua sektor awam dan swasta akan memainkan peranan mereka masing-masing dan menyumbang kepada kejayaan usaha kemampanan dan matlamat Malaysia pada masa depan.
“Adalah suatu yang mengujakan melihat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerima agenda kemampanan dengan memasukkan amalan ESG ke dalam strategi teras mereka dan menerapkannya ke dalam operasi dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Konsep ESG dan kemampanan ini benar-benar dilaksanakan. GLC ini mengarusperdanakan ESG dengan bertindak sebagai contoh teladan, memangkinkan perubahan dalam ekosistem mereka masing-masing dan menggalakkan korporat Malaysia yang lain untuk mempertimbang cara mereka bertingkah laku dan bagaimana tindakan mereka memberi kesan kepada masyarakat dan alam sekitar di mana mereka beroperasi.
“Kepada korporat di luar sana, dan sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan perbankan serantau, saya beri jaminan kepada anda bahawa usaha-usaha ini bukan sahaja akan membolehkan syarikat anda menjadi lebih bertanggungjawab, tetapi juga melindungi kepentingan syarikat anda dalam mencipta nilai dengan mengurangkan potensi risiko alam sekitar dan kawal selia,” katanya. – UTUSAN