PETALING JAYA: Jumlah perdagangan Malaysia melepasi RM1 trilion dalam lima bulan pertama 2022, tempoh tersingkat pernah dicatatkan untuk mencapai tanda aras sedemikian.
Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan nilai tertinggi untuk tempoh Januari sehingga Mei 2022.
Perdagangan meningkat 25.1 peratus kepada kepada RM1.085 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Eksport bertambah 23.5 peratus kepada RM592.97 bilion, manakala import meningkat 27 peratus kepada RM491.85 bilion.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, prestasi perdagangan Malaysia pada Mei 2022 kekal kukuh, merekodkan pertumbuhan terpantas sejak November 2021.
“Perdagangan meningkat sebanyak 33.6 peratus kepada RM228.37 bilion berbanding Mei 2021, bulan ke-16 berturut-turut mencatat pertumbuhan dua angka.
“Eksport meningkat 30.5 peratus kepada RM120.49 bilion, bulan kesepuluh berturut-turut pengembangan dua angka manakala import meningkat 37.3 peratus kepada RM107.88 bilion dan lebihan dagangan menguncup 8.3 peratus kepada RM12.62 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pertumbuhan eksport didorong permintaan yang lebih tinggi bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, dengan eksport keluaran petroleum mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini.
Katanya, eksport ke pasaran utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun masing-masing merekodkan pertumbuhan dua angka.
“Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, import berkembang 3.6 peratus. Sementara itu, perdagangan, eksport dan lebihan dagangan masing-masing berkurang sebanyak 1.4 peratus, 5.6 peratus dan 46.3 peratus,” katanya.
Mohamed Azmin berkata, eksport ke pasaran utama di ASEAN yang mencatatkan peningkatan ialah Singapura yang meningkat sebanyak RM5.33 bilion berikutan peningkatan eksport produk E&E, Thailand (RM1.54 bilion, LNG), Indonesia (RM1.8 bilion, produk petroleum ), Vietnam (RM821.8 juta, produk E&E) dan Filipina (RM1.06 bilion, minyak sawit).
“Berbanding April 2022, perdagangan meningkat 10.7 peratus, eksport (6.2 peratus) dan import (16.8 peratus),” katanya. – UTUSAN