Berjaya jimatkan tenaga RM26.2 juta setahun

Berjaya jimatkan tenaga RM26.2 juta setahun

ADHAM Baba menyerahkan sijil penghargaan kepada pemain industri di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 16 syarikat dan enam kilang mencatatkan penjimatan penggunaan tenaga sebanyak 351,055 megawatt setiap jam (MWh) dengan nilai RM26.2 juta setahun sejak 2018 menerusi program Kecekapan Tenaga Malaysia dan Projek Aplikasi Solar Termal (MAEESTA).

Kesemua 16 syarikat yang melaksanakan langkah kecekapan tenaga (EE) dan enam buah kilang yang memasang sistem termal solar itu turut berjaya mengurangkan jumlah pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) sepanjang hayat kepada 995,554 tan.

Syarikat-syarikat tersebut antaranya terdiri daripada kilang tekstil, kilang pemprosesan, farmaseutikal, kilang pulpa dan kertas, getah, rawatan permukaan logam, pemprosesan petrokimia dan kimia serta hospital.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, MAEESTA adalah inisiatif Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO) yang dilaksanakan sejak Julai 2014 dengan matlamat mengurangkan pelepasan GHG dalam industri serta menyokong dan menunjukkan penambahbaikan EE dalam sektor khusus.

Menurutnya, kementerian memandang serius pelepasan GHG sebagai isu dan cabaran kepada negara.

“Projek menggunakan teknologi termal solar itu sejajar dengan cita-cita dan komitmen kerajaan menjadikan Malaysia negara neutral karbon menjelang awal 2050.

“Justeru MOSTI amat menggalakkan pembangunan dan penggunaan teknologi dan perkhidmatan perindustrian yang boleh mengurangkan pelepasan GHG sekali gus memastikan kelestarian alam sekitar negara,” katanya pada majlis penyerahan sijil kepada pemain 35 pemain industri yang menyertai UNIDO MAEESTA, semalam.

Adham turut menyampaikan sijil kompetensi kepada 26 pakar yang lulus peperiksaan akhir UNIDO berkenaan Kecekapan Tenaga Termal dan Teknologi dan Reka Bentuk Termal Solar.

Termal solar merujuk kepada teknologi menjana haba menggunakan tenaga matahari. Kebanyakan sistem pemanasan masa kini menggunakan bahan bakar fosil yang tidak boleh diperbaharui dan manfaat penggunaan termal solar bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan bakar tersebut.

MAEESTA dibiayai oleh Fasiliti Persekitaran Global dengan SIRIM Berhad dilantik sebagai agensi pelaksana yang menyediakan seminar, latihan pengguna serta latihan pakar kepada pelbagai subsektor.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, penglibatan dan komitmen SIRIM ke arah mempromosikan aplikasi termal solar untuk kegunaan industri menjangkau skop projek UNIDO MAEESTA.

Jelasnya, penyelidik dan jurutera SIRIM telah berjaya mereka bentuk, membangunkan, menguji serta memasang lapan loji demonstrasi termal solar berskala meliputi pelbagai subsektor industri di negara ini.

“Projek-projek ini kebanyakannya dibiayai melalui program SIRIM-Fraunhofer dan industri swasta. Kilang demonstrasi tersebut merupakan perintis dalam industri makanan dan minuman, pemprosesan ayam, hotel serta industri pengeringan kayu,” ujarnya dalam teks ucapan dibacakan oleh Naib Presiden Kanan Penyelidikan Perindustrian SIRIM, Mohd Azanuddin Salleh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya