AirAsia bakal selesaikan semua tuntutan bayaran balik - Utusan Malaysia

AirAsia bakal selesaikan semua tuntutan bayaran balik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua syarikat penerbangan di bawah AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) iaitu cabang penerbangan kumpulan Capital A menegaskan komitmen mereka untuk menyelesaikan semua tuntutan bayaran balik akibat pandemik Covid-19 secepat mungkin.

Syarikat penerbangan di bawah AAAGL telah menyelesaikan hampir 99 peratus pertanyaan pelanggan berkenaan bayaran balik dan akan berusaha untuk menyelesaikan baki 0.8 peratus lagi dalam masa terdekat.

Selain itu, syarikat penerbangan jarak sederhana dan jarak jauh AirAsia X (AAX) dan Thai AirAsia X (TAAX) juga mempunyai rancangan yang kukuh untuk membuat bayaran balik kepada semua tetamu yang terkesan sejak dua tahun lalu berikutan Covid-19, dalam beberapa bulan akan datang.

Pada masa sama, syarikat akan terus komited untuk memberikan perkhidmatan pelanggan yang terbaik melalui pelaksanaan pelbagai inovasi baharu serta teknologi digital terkemuka dalam industri yang akan meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia telah membuat bayaran balik kepada hampir semua pelanggan yang terjejas.

“AirAsia telah menjadikan perjalanan udara mampu milik untuk semua dan majoriti daripada tetamu kami telah bersetuju untuk menerima bayaran balik menerusi akaun kredit dan kami amat berterima kasih kepada mereka.

“Kini, sekatan perjalanan telah mula dilonggarkan secara berperingkat di beberapa pasaran utama kami dan kami melihat ramai tetamu telah memanfaatkan akaun kredit mereka untuk kembali terbang bersama kami,” katanya dalam kenyataan.

Namun, ujarnya, masih ramai yang keliru antara syarikat penerbangan di bawah AirAsia Aviation Group dan syarikat penerbangan AAX dan TAAX yang merupakan entiti berasingan.

Jelasnya, AAX berdepan dengan situasi yang lebih sukar berikutan penutupan sempadan antarabangsa yang menyebabkan mereka tidak dapat beroperasi sepenuhnya serta terpaksa bergantung dengan aliran tunai yang terhad sepanjang tempoh itu.

Bagaimanapun, katanya, kini mereka telah kembali beroperasi dan telah mula membuat bayaran balik kepada para tetamu yang terkesan menerusi baucar perjalanan bersamaan nilai tempahan yang dibuat.

“TAAX juga turut terkesan oleh pandemik dan mereka sedang bekerja keras untuk menyelesaikan semua hutang yang tertunggak kepada para pelanggan melalui bayaran balik dan pemberian kredit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benjamin Ismail memberitahu, di bawah skim penstrukturan semula hutang yang telah diluluskan oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini, pihaknya secara sah tidak dapat melakukan bayaran balik melalui tunai kepada pelanggan.

“Bagaimanapun, kami berbesar hati untuk menawarkan baucar perjalanan kepada tetamu yang boleh ditebus serta-merta.

“Baucar perjalanan itu juga sah selama lima tahun dan boleh digunakan untuk perjalanan masa depan ke mana-mana destinasi jarak sederhana dan jarak jauh kami yang akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya