MUKADIMAH
SUKU pertama tahun ini, anak syarikat kerajaan Terengganu, Taman Tamadun Islam (TTI) Management Sdn. Bhd. mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya meraih keuntungan hampir RM200,000.
Peningkatan lebih 311 peratus itu didorong oleh kemasukan luar jangka pengunjung iaitu antara 50,000 hingga 70,000 orang dalam sebulan ke taman tema edutainment Islam terkemuka negara, TTI yang terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.
Situasi itu sekali gus meletakkan TTI yang sinonim dengan tarikan utamanya iaitu Masjid Kristal, Taman Monumen di samping aktiviti pelayaran bot dan feri kini di landasan tepat untuk mencapai sasaran 600,000 pengunjung hingga akhir tahun ini.
Ikuti perkongsian bersama Pengurus Besarnya, AHMAD BUKHORI GHAZALI mengenai perancangan strategik perniagaan dalam temubual dengan wartawan Utusan Malaysia, ROSALINDA MD.SAID di Kuala Terengganu baru-baru ini.
UTUSAN : Prestasi TTI pada suku pertama 2022?
AHMAD BUKHORI : Sejak pintu sempadan negeri dibuka Oktober tahun lalu, kehadiran pelancong melonjak tinggi hingga membolehkan kita meraih keuntungan RM200,000 sepanjang suku pertama 2022 berbanding tempoh sama tahun 2019.
Kemasukan pengunjung ke TTI?
Purata kedatangan pelancongan ialah antara 50,000 hingga 70,000 sebulan. Tahun lalu, kita merekodkan kira-kira 276,000 pengunjung dalam suasana negara berdepan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi untuk 2022 ini, kita menyasarkan lonjakan sehingga 600,000 orang sebagaimana pada 2019.
Bagaimana sambutan pelancong asing?
Setakat ini kita masih lagi kurang pelancong luar negara. Sebelum ini kebanyakan yang datang dari Asia Barat di samping mereka yang mempunyai kesedaran Islam tinggi.
Apakah pendapatan utama TTI?
TTI memiliki 10 punca pendapatan dengan tiga yang tertinggi ialah daripada pelayaran sungai diikuti pusat konvensyen dan Taman Monumen yang menempatkan 22 replika masjid terkenal dunia.
Pendapatan lain ialah menerusi pelayaran Kristal, restoran B’Beteng, terminal feri Pulau Redang, kafe Kalang, vila, Masjid Kristal dan ruang niaga komersial.
Sasaran jualan pada 2022?
Tahun ini kita menyasarkan jualan sebanyak RM6.5 juta iaitu peningkatan RM 1.5 juta berbanding RM4 juta yang diraih pada 2019.
Strategi untuk mencapai sasaran itu?
Sejak menerajui pentadbiran TTI bermula Oktober 2021, saya meletakkan sasaran jelas dan skor kad kepada pasukan dengan tumpuan terhadap empat aspek iaitu kewangan, pelanggan, operasi di samping kakitangan. Kita optimis untuk melonjakkan pertumbuhan semua bidang perniagaan, contohnya yang terbaharu ialah terminal feri ke Pulau Redang.
Setakat ini kita menerima kira-kira 250 pengunjung sehari untuk ke pulau peranginan itu dan menyasarkan sehingga 1,000 orang dengan anggaran pendapatan tahunan dijangka mencecah RM1.2 juta.
Kos penyelenggaraan Taman Monumen?
Aktiviti penyelenggaraan dibuat secara berkala menerusi peruntukan yang dijana hasil pendapatan perniagaan. Di samping itu, saya bersyukur kerana permohonan untuk kerja-kerja baik pulih sebanyak RM5 juta sudah diluluskan kerajaan Pusat menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Manakala kerajaan negeri pula menyalurkan RM1.2 juta setiap tahun untuk penyelenggaraan Masjid Kristal dan taman awam.
Perancangan untuk tambah replika masjid?
Kita masih dalam penelitian dan sudah ada beberapa nama monumen yang bersesuaian, namun belum ada kata putus lagi mengenainya. Antara yang disenaraikan termasuk binaan dari Turki dan Mesir. Setiap replika yang dibina di TTI melibatkan kos kira-kira RM200,000.
Perkhidmatan lain yang dirancang di TTI?
Selepas feri, jeti TTI sekali lagi bakal menjadi tumpuan menerusi perkhidmatan kapal terbang air untuk ke pulau peranginan. Perkhidmatan ini merupakan yang pertama di Terengganu serta Pantai Timur, dan jika perancangan berjalan lancar, maka kerjasama dengan pihak luar ini boleh direalisasikan tidak lama lagi.
Selain itu, kita turut berunding untuk menyediakan perkhidmatan menaiki helikopter di sini di samping belon panas dan aktiviti-aktiviti lain yang boleh menyumbang kepada kenaikan pendapatan perniagaan.
Kita juga menggalakkan pemilik bot tempatan untuk berdaftar di bawah TTI bagi menjana pendapatan mereka menerusi aktiviti menelusuri sungai terutama menghala ke arah Kuala Berang, Hulu Terengganu yang dirancang untuk diterokai menerusi pakej Jejak Ulama
Pembinaan pondok moden tradisional di TTI?
Pondok itu masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2023 termasuk turut menempatkan asrama pelajar dan guru. Pembinaan Pusat Taffaquf Fi Din Tok Syeikh Duyong itu sekali gus akan merealisasikan hasrat kita untuk melaksanakan aktiviti solat Jumaat di Masjid Kristal. Pada masa ini ibadah itu terbatas kerana tiada penduduk bermukim di Pulau Wan Man.
Jangkaan kenaikan harga perkhidmatan di TTI akibat kejatuhan ringgit?
Kita tidak akan menaikkan harga perkhidmatan. Impak positif daripada kejatuhan ringgit, kita percaya lebih ramai pelancong luar negara akan berkunjung ke TTI dan Terengganu. Oleh itu, kita komited untuk memastikan suasana di destinasi pelancongan ini sentiasa segar dengan perkara baharu terutama dalam menarik minat generasi Z. – UTUSAN