Toyota Hilux 2.8 Rogue – Mantap, kukuh, bergaya - Utusan Malaysia

Toyota Hilux 2.8 Rogue – Mantap, kukuh, bergaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nama HILUX bukanlah sesuatu yang asing. Pacuan empat roda atau lebih dikenali dengan panggilan trak pikap ini, ternyata sudah lama berada di pasaran tempatan. Namun, model naik taraf yang diperkenalkan pada penghujung 2021, seolah-olah diiringi oleh pikap-pikap dari jenama lain hampir serentak. Tentangan hebat daripada pelbagai jenama pikap yang lain memberikan cabaran untuk dominasi pikap daripada Toyota ini. 

Namun, atas dasar serasi dengan pasaran peminat pikap tempatan, Hilux masih kekal sebagai jenama pikap yang sentiasa akan dicari dahulu sebelum pikap-pikap jenama lain. Kupasan kali ini ialah terhadap versi Hilux Rogue iaitu variasi 2.8cc Diesel, ternyata model taruhan bagi Toyota dalam segment ini. 

PENAMPILAN

Trak pikap semestinya harus tampah teguh, kukuh dan ganas kerana jentera ini adalah untuk penggunaan dan imej lasak. Kebanyakan usahawan bumiputera yang mempunyai perniagaan berkaitan pembangunan, kejuruteraan atau pembinaan sudah tentu menjadikan pikap pilihan utama sebagai kenderaan rasmi. Kalau tiga tahun kebelakangan dulu, pikap selalunya tampak lusuh, kotor dan begitu berdebu, namun sejak akhir-akhir ini, penampilan pikap-pikap, termasuk dari segi penggunaan pemiliknya, seperti sebuah kereta mewah atau kenderaan eksklusif. 

Banyak pikap di jalan raya kini berkilat, bersih dan tampak bergaya. Justeru, Toyota memperkenalkan sebuah pikap yang tampak begitu eksklusif dari segi penampilan luaran. Gril yang besar dan diubah semula dengan bumper baharu, lampu depan LED, serta lampu kabus LED. Apabila kita beralih pandangan ke sisi Hilux ini, roda 18 incinya sudah tentu menarik perhatian. Sedikit seni telah dilampiaskan pada sisi Hilux ini untuk memberikan lebih sporty dan lebih menarik perhatian golongan muda. Lampu belakang Hilux Rogue ini juga dilengkapi dengan LED, sekali gus menaikkan penampilan jentera pikap ini.

PEMANDUAN

Masuk ke dalam pikap ini, anda akan rasa sedikit terkeliru. Keadaan dalam pikap ini seolah-olah anda baru sahaja masuk sebuah kereta sedan bertaraf premium. Tempat duduk yang dibaluti kulit, sistem hiburan papan pemuka boleh sentuh, lengkap dengan sistem bluetooth dan aplikasi yang boleh dimuat baik untuk digunakan sepadan dengan sistem telefon bimbit anda. Skrin sistem hiburan tersebut boleh berubah menjadi monitor atau pun paparan pandangan luaran, sama ada bahagian hadapan pikap atau pandangan video bahagian belakang yang sering digunakan ketika mengundur kenderaan. Skrin ini juga mampu mempamerkan sistem navigasi serta penunjuk sistem pemanduan dalam lorong yang boleh dikuasai secara elektronik.

Papan pemukanya juga tampak mewah dan kebolehan kapasiti enjin 2.8L lengkap dengan turbo menawarkan lebihan kuasa 27PS dan 50Nm lebih daripada kebolehan enjin Hilux versi sebelum ini. Namun, Toyota menyatakan model ini berkebolehan untuk menggunakan bahan api pada tahap empat peratus lebih rendah. 

Sistem keselamatan yang didatangkan dengan variasi Rogue ini, seperti VSC (vehicle stability control), bantuan pemanduan permukaan curam, amaran pemberhentian kecemasan dan sistem beg udara di tujuh bahagian kenderaan. Toyota Hilux Rogue ini juga dilengkapi dengan pelbagai sistem bantuan elektronik seperti Sistem Pra-Pelanggaran (Pre-Collision system), Kawalan Melayar Radar Dinamik (Dynamic Radar Cruise Control) dan sistem amaran pertukaran lorong (Lane Departure Alert).

Sistem gear automatiknya ternyata mudah diselenggarakan dan mengerah kuasa yang amat baik di dalam apa bentuk keadaan pemanduan. Umum mengetahui, pikap mempunyai ketinggian dalam bentuk fizikalnya. Jarak ke permukaan bumi agak jauh dan sudah tentu ia tidak begitu sesuai untuk dipandu laju di selekoh-selekoh jalan raya. Begitupun, sekiranya anda bijak menggunakan brek dengan lebih awal, dan memasuki selekoh dengan lebih perlahan, anda masih boleh ‘melonjak’ keluar daripada selekoh kerana kuasa turbo yang dibekalkan pada enjin Hilux ini.

KESIMPULAN

Sekiranya anda tidak begitu berpengalaman memandu pikap sedia ada di pasaran tempatan sejak lima tahun lalu, anda mungkin tidak terasa kelebihan yang ada pada Hilux ini. Namun, bagi yang sudah biasa dengan memandu pikap atau trak akan merasakan yang pikap ini seperti tidak lagi hardcore atau khas untuk penggunaan penggunaan jalan raya tanpa tar (off road). Kalau dulu ia kerap digunakan oleh pengusaha balak atau pemilik tapak pembinaan, kini pikap seolah-olah menjadi kenderaan ‘mainan’ golongan atasan yang menginginkan sebuah kenderaan yang menampilkan imej seorang usahawan berjaya walaupun perniagaannya hanya jual beli dan tidak terlibat langsung dengan kerja ‘kasar.’

Harga pikap ini adalah dalam lingkungan RM150,000 sebelum cukai jalan dan insurans. Harga ini seperti tiada jauh berbeza dengan harga jualan kereta-kereta masa kini yang berkapasiti 2,000cc ke atas. Mungkin atas dasar inilah, Hilux ini begitu banyak terdapat di atas jalan raya tempatan dan dapat dilihat, penampilan kebanyakan daripadanya adalah dalam keadaan bersih dan berkilat. Malah, sudah banyak kelihatan di jalan raya, pikap ini dipandu oleh kaum wanita. Ini jelas menunjukkan sistem pemanduannya ternyata lebih efisien dan mampu dipandu oleh sesiapa sahaja.

Toyota Hilux ini berjaya terus mengekalkan imej kukuh, gagah dan tegap, di samping sistem-sistem bantuan pemanduan elektronik yang selalunya terdapat pada kereta-kereta sedan mewah. Faktor-faktor ini sudah tentu membuatkan wujudnya golongan-golongan baharu yang meminati dan menginginkan pikap ini, walaupun sebenarnya tiada keperluan khas untuk memilikinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya