PETALING JAYA: Swimlane, syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat mengumumkan rancangan untuk membuka ibu pejabat serantaunya di ibu negara sebagai sebahagian daripada perkongsian strategik dengan CyberSecurity Malaysia dalam usaha memperkukuh ekosistem siber di rantau ini.
Pemilihan Kuala Lumpur sebagai pangkalan serantau Swimlane dibuat berdasarkan ekonomi Malaysia yang teguh dan pelbagai dengan prasarana bertaraf dunia, rakan kerjasama yang berpengalaman serta kewujudan tenaga kerja yang mahir dalam pelbagai bahasa.
Malaysia juga menyediakan peluang perniagaan yang besar, terutama bagi firma-firma global yang ingin memperkenalkan penyelesaian ke serata rantau Asia Pasifik.
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Ts. Dr. Amirudin Abdul Wahab berkata, kerjasama tersebut bakal membantu mengukuhkan dan meluaskan visi keselamatan siber strategik di rantau ini.
“Swimlane dan Cybersecurity Malaysia akan menyumbangkan pengetahuan, kepakaran, kebolehan dan produk masing-masing dalam menawarkan penyelesaian keselamatan siber inovatif di Malaysia dan di rantau ini.
“Sebagai pusat keselamatan siber dan teknikal negara, CyberSecurity Malaysia mengalu-alukan kerjasama seperti ini kerana ia turut akan membawa teknologi maju, kebolehan dan kapasiti kepada Malaysia dalam memastikan persekitaran siber kita kukuh, selamat, dan boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan.
Rantau Asia Pasifik sedang menghadapi kekurangan tenaga mahir keselamatan siber yang serius dengan anggaran 2.045 juta tawaran kerja keselamatan siber yang perlu diisi, atau 66 peratus jumlah kekurangan global.
Ini menandakan terdapat kesukaran untuk mendapatkan golongan profesional yang berkelayakan dan mahir untuk menangani ancaman keselamatan siber yang kian meningkat.
Tanpa automasi, pentadbir keselamatan yang sudah sedia terbeban terpaksa melakukan tugas yang berulang, memakan masa dan manual untuk menjejak, meringankan dan menyelesaikan insiden keselamatan di pelbagai platform keselamatan.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Strategi Swimlane, Cody Cornell memberitahu, hari ini, setiap firma merupakan firma teknologi dan pada masa yang sama, soal keselamatan memberi kesan yang amat besar kepada perniagaan dan keuntungan sekali gus menjadikan keselamatan siber satu faktor penting.
“Perluasan kami ke rantau Asia Pasifik bertujuan untuk menggunakan teknologi kami dan membolehkan sesiapa sahaja daripada mana-mana organisasi untuk bersama-sama menyumbang pengetahuan dan kepakaran ke arah perlindungan organisasi, di samping mengurangkan kerja dan kos pemilikan dalam mencapai matlamat keselamatan yang sebelum ini dianggap mustahil,” ujarnya. – UTUSAN