Sime Darby raih untung bersih RM244 juta

Sime Darby raih untung bersih RM244 juta

Datuk Jeffri Salim Davidson
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Berhad mencatatkan untung bersih RM244 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2022. Ia menurun berbanding RM300 juta yang diraih pada suku sama tahun sebelumnya yang turut mengambil kira keuntungan sekali saja berjumlah RM60 juta.

Jika mengecualikan keuntungan sekali saja yang dicatatkan pada suku ketiga 2021, kumpulan secara umumnya telah mengekalkan prestasinya bagi suku tahun yang dilaporkan.

Kumpulan dalam kenyataan berkata, hasil bagi suku tahun tersebut menyusut sebanyak 4.1 peratus kepada RM10.6 bilion.

Jelasnya, untung bersih suku ketiga 2022 lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu. Ini memandangkan perniagaan teras kumpulan, iaitu perindustrian dan automotif terjejas akibat gangguan berkaitan Covid-19 di China dan Australasia.

“Hal ini mengakibatkan sumbangan yang lebih rendah daripada bahagian Perindustrian Australasia yang mengalami kos operasi yang lebih tinggi. 

“Kemerosotan dalam aktiviti pembinaan di China dan kekangan rantaian bekalan yang bertambah teruk ekoran konflik ketenteraan di Ukraine turut menjejaskan prestasi. 

“Suku ketiga 2021 turut mencatat keuntungan sekali saja berjumlah RM39 juta daripada pemulangan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) Singapura dan pembalikan kemerosotan bersih berjumlah RM21 juta bagi Eastern & Oriental Berhad,” menurut kenyataan.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2022, untung bersih turun kepada RM825 juta daripada setahun lepas dengan ketiadaan untung RM272 juta daripada pelupusan Tesco Malaysia, pemulangan GST Singapura dan pembalikan kemerosotan bersih berjumlah RM33 juta daripada jualan kepentingan dalam Eastern & Oriental Berhad.

Lebih rendah

Tanpa mengambil kira keuntungan sekali saja tersebut, untung bersih bagi tempoh sembilan bulan adalah lebih rendah. Ini terutamanya disebabkan sumbangan lebih kecil daripada bahagian perindustrian yang terus terkesan oleh penguncupan ketara dalam jualan industri peralatan berat di China dan margin operasi lebih rendah di Australasia.

Hasil merosot sebanyak 4.1 peratus kepada RM31.8 bilion bagi tempoh yang dilaporkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, bahagian automotif Malaysia antara yang mencatatkan prestasi cemerlang. Iaitu peningkatan untung yang melebihi tiga kali ganda disebabkan peningkatan margin kenderaan dan pendapatan lebih tinggi daripada operasi pemasangan. 

Katanya, pembukaan semula ekonomi dan harga komoditi yang kian meningkat akan menyokong perniagaan kumpulan pada suku-suku tahun akan datang.

“Walaupun berdepan cabaran berterusan dalam persekitaran perniagaan, prestasi Sime Darby terus disokong oleh lembaran imbangan yang kukuh, liputan geografi luas dan jenama yang berprestij. 

“Kami kekal komited kepada strategi pertumbuhan jangka panjang kami. Kami akan terus memanfaatkan peluang untuk merasionalisasi portfolio dan menggiatkan lagi usaha mengukuhkan perniagaan teras kami dalam bidang perindustrian dan automotif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya