PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP), ahli Kumpulan MMC dengan kerjasama Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) menganjurkan majlis mini sambutan Hari Raya Aidilfitri di tiga rumah kebajikan, baru-baru ini.
Program berasaskan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada usaha kerjasama kedua-dua organisasi untuk menyantuni dan menceriakan penghuni rumah kebajikan dengan menyambut Hari Raya bersama-sama selain menghulurkan sedikit bantuan.
Seramai 130 penghuni diraikan di tiga rumah kebajikan dalam daerah Johor Bahru iaitu pusat perlindungan bagi golongan wanita Baitus Solehah, pusat pemulihan komuniti untuk orang kurang upaya PDK Nusajaya dan rumah warga emas Pusat Jagaan Kasih Rohani.
Pengurus Besar LPJ, Kamaruzaman Munasir berkata, memandangkan sejak dua tahun lalu para sukarelawan tidak dapat beramah mesra dengan penghuni, tahun ini pihaknya memutuskan untuk menjadikannya lebih istimewa dengan meraikan hari lahir para penghuni yang lahir dari Januari hingga Mei.
“Walaupun sambutan dibuat secara sederhana, sambutan seperti ini akan memberikan kesan yang besar terhadap emosi dan ingatan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Dalam majlis tersebut, penghuni dapat menikmati juadah raya bersama sukarelawan terlibat selain PTP dan LPJ turut menyerahkan sumbangan barangan kering seperti beras, tepung, minyak masak, gula serta lampin pakai buang dan lain-lain semasa pogram berlangsung.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen berkata, aktiviti ini sudah menjadi tradisi bagi PTP dan LPJ sejak 2018.
“Selain berkongsi kemeriahan Syawal bersama para penghuni, program seperti ini memberikan peluang kepada 35 sukarelawan PTP dan LPJ untuk berinteraksi, mengeratkan hubungan antara sukarelawan dan masyarakat setempat secara amnya,” ujarnya.
Penyelia PDK Nusajaya, Azura Muhammad berkata, pihaknya amat menghargai usaha yang diambil oleh organisasi besar seperti PTP dan LPJ dalam menganjurkan sambutan sebegitu untuk para pelatihnya yang kurang upaya.
“Dengan program sambutan Hari Raya ini bersama-sama para sukarelawan semestinya memberikan kegembiraan kepada para pelatih kami. Di samping itu, mereka juga berpeluang mempraktikkan kemahiran sosial dan meningkatkan keyakinan diri untuk berinteraksi dengan orang luar,” katanya.
PTP dengan kerjasama LPJ telah melaksanakan Program Sambutan Hari Raya dan Agihan Bantuan selama lebih empat tahun.
Program-program tersebut bukan sahaja membantu pembangunan komuniti mampan dan pada masa yang sama memberi peluang kepada kakitangan PTP dan LPJ untuk terus menyumbang kepada masyarakat setempat melalui aktiviti-aktiviti tanggungjawab sosial korporat. – UTUSAN