Proton lancar Saga 2022, harga bermula RM34,400 - Utusan Malaysia

Proton lancar Saga 2022, harga bermula RM34,400

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Bhd. (Proton) melancarkan Proton Saga 2022, versi yang ditambah baik terbaharu bagi model klasik jenama itu, semalam.

Saga baharu itu memberikan saranan pintar untuk pemandu dan membawa syarikat ke perjalanan baharu dengan ciri, keselamatan dan kualiti yang dipertingkatkan dalam reka bentuk yang diperbaharui di mana ia memberikan Gaya Tertinggi, Penjimatan Pintar dan Kestabilan Terhebat sebagai poin jualan uniknya (USP).

Dikuasakan oleh enjin 1.3 liter empat silinder 16 injap DOHC VVT, Proton Saga 2022 tersedia dalam empat varian, iaitu Standard MT, Standard AT, Premium AT dan Premium S AT.

Model terbaharu itu juga menawarkan ciri yang dinaik taraf dari segi dalaman dan luaran serta penjimatan bahan api yang dipertingkatkan dengan bantuan ciri seperti penunjuk ECO Drive Assist.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah berkata, Proton Saga telah menjadi kenderaan pilihan ramai rakyat Malaysia dan pembeli di luar negara selama hampir empat dekad, dan pihaknya berbangga untuk meneruskan legasinya dengan Proton Saga 2022. 

“Dengan adanya kemas kini terbaharu ini, ia memperluaskan lagi warisan model terlaris Proton untuk pemandu daripada semua

peringkat umur dan latar belakang, dengan lebih dari 1.9 juta unit terjual pada lebih daripada 28 pasaran di seluruh dunia, kami yakin nama Saga akan terus berkembang maju untuk tahun-tahun akan datang.

“Selain itu, di sebalik cabaran pandemik, Proton Saga 2019 mencatat jualan sebanyak 123,512 unit dalam tempoh 32 bulan, dari Ogos 2019 hingga April 2022,” katanya dalam majlis pelancaran, semalam.

Proton Saga 2022 menawarkan gaya supreme dengan peningkatan ketara yang meningkatkan tahap dalam kelasnya yang pasti menarik minat pembeli kereta kali pertama yang lebih muda dan juga bagi mereka yang mencari sedan segmen-A. 

Bagi menambah kesegaran pada reka bentuk Saga, ia dilengkapi dengan skirt depan dan sisi baharu yang menawarkan rasa sporty yang diserasikan dengan roda aloi 15-inci baharu dan lampu siang LED.

Pada bahagian dalaman, varian Premium S baharu menampilkan skema warna gelap yang sporty, tempat duduk separa kulit yang direka bentuk semula untuk sentuhan keanggunan, dan tikar permaidani tepi merah yang baharu.

Ia turut dilengkapi dua beg udara SRS standard, serta Brek Anti-Kekunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD) dan sistem Bantuan Brek (BA).

Terdapat juga kamera mengundur yang dipasangkan di penderia belakang dan penderia hadapan yang berfungsi untuk memudahkan pergerakan ketika meletak kereta di ruang yang sempit.

Proton Saga 2022 boleh didapati dalam lima warna iaitu Snow White, Armor Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon dan Ruby Red.

Harga tanpa insurans bermula daripada RM34,400 hingga RM44,300, sah sehingga 30 Jun 2022 dengan pengecualian cukai jualan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya