Pertima sasar pendapatan RM14 juta 2022

Pertima sasar pendapatan RM14 juta 2022

SARDIN Pertima dihasilkan dengan menggunakan bahan mentah segar dan bermutu bagi memenuhi citarasa pelanggan. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Syarikat pengeluar produk makanan dalam tin berkualiti tinggi di pasaran, Pertima Terengganu Sdn. Bhd. (Pertima) menyasarkan pendapatan RM14 juta pada tahun ini berbanding RM12 juta yang direkodkan tahun sebelumnya.

Pengurus Besarnya, Syed Mohd. Asdi Tuan Ngah berkata, peningkatan 20 peratus itu selaras dengan jualan yang menggalakkan sepanjang memasuki suku kedua 2022.

Katanya, hingga kini produk terlaris keluaran syarikat itu ialah sardin kerana menggunakan bahan mentah segar dan bermutu bagi memenuhi citarasa pelanggan.

“Selepas peralihan negara ke fasa endemik Covid-19, kita dapati pengguna cenderung membeli barangan keperluan sahaja dan sardin adalah salah satu daripanya dengan setiap rumah biasanya memiliki antara satu hingga tiga tin makanan itu.

“Sasaran kita adalah agar setiap isi rumah membeli sardin Pertima bagi membolehkan jenama kita terus kukuh setanding dengan produk terkemuka lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pertima dibangunkan di bawah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) pada 1972 dan beroperasi di kawasan perindustrian Chendering dengan seramai 60 pekerja yang 100 peratus anak tempatan.

Di awal penubuhannya, syarikat ini merupakan pembekal tunggal sardin kepada semua agensi kerajaan di seluruh Semenanjung tanah air selama lebih 20 tahun.

Sementara itu, Syed Mohd. Asdi berkata, selain sardin, Pertima turut memiliki enam produk lain iaitu kari ayam, sambal bilis, kaya, sapuan sardin, kuah laksa dan kuah sate dengan pengeluaran harian sebanyak 20,000 tin.

Menurutnya, produk mereka sudah menembusi pasar raya besar  di samping rangkaian pasar mini popular di seluruh negara.

Sementara itu, katanya, Pertima turut merancang untuk memperkenalkan beberapa produk baharu termasuk susu pekat dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya