PETALING JAYA: Kerajaan perlu memperluas insentif dalam industri pertanian dalam usaha mendepani krisis makanan global dan inflasi yang mungkin berlaku akibat perang Rusia-Ukraine yang berpanjangan.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, walaupun negara mempunyai cukup kawasan untuk sawit dan pertanian makanan, namun insentif dalam industri pertanian sangat lemah berikutan pelesenan, konsesi dan sekatan ke atas akses pasaran.
“Sebenarnya rantaian nilai bekalan ini dikawal kukuh oleh orang tengah yang bermula daripada proses mendapat kebenaran mengimport barang-barang makanan. Justeru, kita memerlukan revitalisasi pasaran dan inovasi baharu saluran pasaran untuk membantu para petani tempatan.
“Ekonomi digital yang sampai tepat pada waktunya perlu digunakan secara maksimum. Pandemik Covid-19 dua tahun lalu telah mendedahkan kelemahan Malaysia dalam keselamatan makanan apabila perintah kawalan pergerakan meletakkan sekatan ke atas rantaian bekalan negara.
“Kementerian Pertanian mestilah menjadi penerima antara peruntukan terbesar setiap kali Belanjawan Negara dibentangkan supaya objektif ini boleh dicapai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine baru-baru ini, mendorong Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memberi amaran tentang krisis makanan global yang akan berlaku akibat gangguan dalam pengeluaran dan eksport.
Malaysia mengimport RM55 bilion nilai makanan setiap tahun, dan hanya mengeluarkan 46 peratus daripada jumlah permintaan sayur-sayuran, 70 peratus daripada jumlah permintaan beras, 61 peratus buah-buahan dan 25 peratus daging (statistik tahun 2019).
Aimi Zulhazmi berkata, bagi membendung masalah ini, kerajaan tidak boleh hanya bergantung kepada cara mudah penganugerahan permit import (AP) sahaja.
Jelasnya, penganugerahan AP secara teorinya memang langkah paling menjimatkan kerana pemegang AP akan dapat memilih sumber bekalan yg murah dan stabil, tiada kos yang dikeluarkan oleh kerajaan malah mendapat keuntungan dari segi pungutan cukai masuk.
Katanya, ia termasuk model utama untuk membawa masuk hampir semua komoditi makanan utama ke Malaysia daripada kelapa, sayur-sayuran, buah-buahan, gula, tepung, beras, ayam, daging lembu dan kambing serta pelbagai ratusan jenis lagi.
“Namun, sekiranya berterusan berpuluh-puluh tahun, ia tidak lagi produktif malah mewujudkan kartel-kartel yang mengawal turun naik harga barang secara tidak rasmi.
“Oleh itu, kerajaan harus menangani keperluan pengeluaran makanan domestik melalui penggunaan tanah serta mengubah dasar pertanian daripada hanya memihak kepada eksport komoditi utama seperti kelapa sawit sahaja kepada pertanian tanaman makanan.
“Malaysia dikurniakan dengan tanah yang subur, pelbagai kontur tanah dari bukit hingga ke lembah, kaya dengan sumber air dari kolam, tasik, sungai dan kemudahan pengairan, selain iklim khatulistiwa dengan hujan sepanjang tahun yang sesuai untuk hampir semua jenis tanaman.
“Bagi solusi jangka panjang, kerajaan mesti membantu para petani yang berjaya untuk mengeksport hasil mereka, kerana buat masa ini sebaliknya yang berlaku apabila kita melihat semakin banyak kemusnahan tanah ladang untuk bahagian industri dan pengembangan bandar,” ujarnya. – UTUSAN