Oleh Tan Hann Yang
Dalam tempoh samar dan tidak menentu seperti pandemik Covid-19 kini, ekosistem perniagaan di seluruh dunia telah melalui perubahan kekal untuk terus bertahan. Namun, perubahan ini turut membawa kebaikan apabila para peniaga dan pemilik syarikat kini dapat beroperasi dengan lebih lancar, serentak dengan penstrukturan semula rantaian bekalan yang berterusan bagi mengelakkan lebih krisis di masa hadapan.
Pandemik ini juga telah mempercepatkan penggunaan e-dagang. Namun begitu, sejauh manakah kemampanan dan kebolehskalaan sesebuah perniagaan itu sekiranya terdapat kelemahan dalam salah satu aspek utamanya, iaitu strategi pengedarannya?
Untuk menjawab soalan tersebut, pertama sekali kita perlu mengenal pasti saluran-saluran pengedaran berbeza yang digunakan oleh perniagaan bagi memastikan bahawa pelanggan dapat mengalami pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan.
Peningkatan dalam Saluran-saluran Pengedaran Perniagaan
Yang dahulunya mustahil kini tidak lagi mustahil dengan digitalisasi. Dengan pemodenan gudang, perusahaan kini mampu mengendalikan keperluan pengguna yang semakin meningkat dengan lancar dan cekap melalui seribu satu macam saluran pengedaran yang perlu diuruskan serentak:
- Kedai ke pelanggan
- Gudang ke kedai
- Kedai ke kedai
- Gudang ke pelanggan
- Pelanggan ke gudang
- Gudang ke lokasi pengambilan alternatif
- Pelanggan ke kedai
Dalam era dinamik di mana trend pelanggan dapat berubah dengan cepat tanpa amaran, pemodenan gudang merupakan penyelesaian bagi memastikan perusahaan sentiasa cekap dalam pemenuhan saluran ini. Hal ini bagi memastikan yang pelbagai permintaan dapat dipenuhi dengan pantas melalui kemampuan automasinya.
Antara saluran yang penting namun kurang digunakan oleh orang ramai termasuk Pelanggan ke Kedai (cth. pelanggan memulangkan produk) ataupun Gudang ke lokasi pengambilan alternatif (cth. pelanggan menerima bungkusan di titik pengambilan berbeza) merupakan idea konvensional yang kini telah diterima pakai oleh ramai pelanggan biasa. Keupayaan (atau ketidakupayaan) dalam melaksanakan dan menggunakan saluran-saluran tersebut dapat menentukan kesahan sesebuah perniagaan di mata para pelanggan.
Namun begitu, kepelbagaian saluran pengedaran juga dapat mendatangkan masalah kerana perusahaan mungkin mengalami masalah dalam mengesan stok untuk setiap saluran, terutamanya apabila berhadapan dengan lapisan-lapisan tambahan pihak pengurusan yang diperlukan oleh sesebuah gudang tersebut. Tambahan lagi, gudang-gudang yang bergantung sepenuhnya kepada proses manual akan mengalami ketidakcekapan dan pembaziran masa disebabkan proses-proses remeh dan menyusahkan dari segi komunikasi dan penyampaian maklumat berkaitan prosedur untuk setiap stok. Untuk mengelakkan isu seperti ini daripada berlaku, pemodenan gudang – sebuah konsep yang sudah lama popular dalam pasaran lain, kini semakin mendapat tempat dalam landskap perniagaan Asia Tenggara.
Pemodenan Gudang dan Fungsi Sistem Pengurusan Gudang (WMS)
Pemodenan gudang selama ini telah diabaikan semenjak zaman sebelum pandemik, ketika e-dagang belum mempunyai peluang untuk berkembang. Kebanyakan perniagaan ‘moden’ kini masih bergantung kepada sistem penyimpanan rekod tradisional seperti penggunaan dokumen Excel ataupun dokumentasi bertulis. Hal ini menggalakkan kesilapan dan juga ketidakcekapan disebabkan sistemnya memerlukan input secara manual.
Dalam melaksanakan penyelesaian pemodenan gudang, kebanyakan perusahaan menggunakan penyelesaian kontemporari melalui kerjasama dengan teknologi berlainan bagi mencapai automasi kerja yang optimum di gudang-gudang. Salah sebuah teknologi tersebut – sistem pengurusan gudang, ataupun singkatannya WMS, merupakan sebuah elemen penting yang menggariskan pemodenan gudang. WMS berfungsi sebagai sistem rekod (SOR) yang memberikan keterlihatan kepada keseluruhan inventori sesebuah perusahaan, dan menguruskan operasi merentasi kesemua saluran pengedarannya dengan berkesan.
Pelaksanaan pemodenan gudang melalui WMS memberikan beberapa manfaat kepada sesebuah perniagaan. Antaranya adalah peningkatan dalam ketepatan dan pengawalan stok; pengecualian kemasukan data yang meningkatkan ketepatan pengumpulan data; pengesanan stok pada waktu sebenar yang menjadikan perolehan inventori lebih cepat; dan pengoptimuman ruangan gudang. Dengan data dan informasi berpusat, WMS dapat memberikan cadangan dan garis panduan yang berguna untuk setiap inventori. Melalui penyelesaian masalah-masalah utama berkaitan gudang yang melanda banyak perusahaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, para perusahaan ini kini dapat memperuntukkan tenaga kerja dan sumber yang mencukupi untuk melakukan tugas-tugas lain yang dapat meningkatkan lagi khidmat pelanggan serta gerak kerja mereka.
Selain daripada WMS yang mengesan setiap pergerakan setiap item dalam inventori, ia juga menambahkan keterlihatan untuk operasi harian di dalam gudang tersebut (cth. pemindahan barang-barang), mengautomasikan proses pengendalian inventori (cth. merangka laluan paling optimum/langkah seterusnya untuk setiap inventori), dan bertindak sebagai titik integrasi untuk semua teknologi terbaharu (contoh: RFID, Kod bar, BLE, peralatan IoT).
Ke Masa Hadapan Pemodenan Gudang
Automasi merupakan aspek penting dalam pemodenan gudang, dan mungkin menjadu matlamat utama bagi kebanyakan gudang sedia ada pada masa kini. Operasi harian yang dilakukan oleh kecerdasan buatan (AI) atau sistem robotik akan menjadikan setiap gudang mampu berdiri sendiri dan menjadi penyumbang yang berfungsi sendiri kepada rantaian bekalan secara keseluruhannya.
Pemodenan gudang merupakan sesuatu yang bertahap dan dalam setiap fasa yang dilalui oleh sesebuah perniagaan, mereka akan menjumpai penyelesaian untuk masalah yang dihadapi dalam tahap tersebut. Selagi teknologi terus berkembang maju, ‘tahap sempurna’ dalam pemodenan gudang hanyalah merupakan sebuah idea abstrak. Sebagai contoh, sebuah gudang mungkin telah mencapai pemodenan ke tahap tertentu dengan penggunaan teknologi kod bar 2D. Namun begitu, tidak bermakna bahawa ia kalis masa hadapan, selagi mana kemajuan teknologi di masa hadapan mewujudkan keperluan untuk penambahbaikan proses keseluruhan pengurusan gudang.
Pada masa yang akan datang, pemodenan gudang akan melibatkan sistem kecerdasan data yang ditingkatkan, dan dihubungkan serentak dengan syarikat masing-masing bagi menyediakan analisis data yang dapat menentukan kaedah-kaedah yang dapat digunakan untuk menambah baik fungsi gudang (cth. mengemas kini rekabentuk gudang;p mengubah gerak kerja pekerja). Data yang dikumpul juga akan lebih berguna dan relevan, memberikan perusahaan kebolehan untuk mengenal pasti atau meramalkan perubahan yang mungkin boleh memberi kesan kepada keuntungan keseluruhan sesebuah perusahaan, contohnya potensi kekurangan bekalan dan perubahan dalam tabiat pembeli.
Pada asasnya, pengurusan gudang dapat disamakan dengan proses membina sebuah rumah di mana akan ada masalah berkaitan asas bangunan yang perlu dihadapi oleh penghuni rumah tersebut, sekiranya pihak yang membina rumah itu tidak mahu menggunakan bahan binaan yang berkualiti dan bagus. Begitulah kepentingan untuk mula mengguna pakai WMS sebagai sebahagian daripada usaha memodenkan gudang, bukan sahaja sebagai cara sesebuah perusahaan mendapatkan model pertumbuhan yang boleh beroperasi dan mampan, tetapi juga memastikan bahawa gudang-gudang mereka cukup lengkap untuk menghadapi pasang surut dalam pasaran seperti pandemik Covid-19.
PENULIS adalah Pengarah Perniagaan Intelli-Mark