NSCMH Dialysis Care cadang buka dua lagi cawangan pusat dialisis - Utusan Malaysia

NSCMH Dialysis Care cadang buka dua lagi cawangan pusat dialisis

N. Eswaran (tengah) meraikan jururawat sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia yang diadakan di NSCMH Dialysis Care, Jalan Tun Dr. Ismail, Seremban hari ini.- UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bagi menampung keperluan rawatan pesakit buah pinggang di Negeri Sembilan, pusat rawatan dialisis, NSCMH Dialysis Care bercadang untuk membuka dua buah lagi lokasi cawangan pusat rawatan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif NSCMH Dialysis Care, Dr. N. Eswaran berkata, dua lokasi berkenaan adalah di daerah Port Dickson dan juga di Nilai di mana didapati terdapat keperluan ramai pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan di kawasan tersebut.

Menurut beliau, pembukaan dua lokasi pusat rawatan dialisis itu akan melibatkan kos sebanyak RM2.4 juta yang melibatkan sebanyak 12 mesin dialisis.

“Di Port Dickson ia dijangka dibuka pada hujung tahun ini manakala di Nilai pula dijangka dalam tempoh 12 bulan lagi. 

“Terdapat peningkatan 40 hingga 46 peratus dalam kalangan pesakit buah pinggang ketika ini. Diharap dengan pembukaan pusat rawatan dialisis ini dapat memberi kemudahan dan memberi peluang pesakit mendapatkan rawatan dialisis terbaik di sini kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia di NSCMH Dialysis Care, Jalan Tun Dr. Ismail di sini semalam.

Dalam majlis berkenaan, seramai 48 orang jururawat diraikan sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia di pusat dialisis berkenaan. 

Sementara itu Eswaran berkata, berbanding pusat dialisis lain, pihaknya menawarkan kos rawatan yang lebih rendah kepada pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan di pusat dialisis berkenaan.

“NSCMH Dialysis Care menawarkan bayaran serendah RM150 bagi satu kali rawatan. Ia berikutan pusat ini merupakan pusat dialisis kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

“Caj rawatan bagi pesakit yang mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) adalah dengan bayaran RM130 manakala RM20 lagi ditanggung sepenuhnya oleh pusat dialisis ini,” katanya.

NSCMH Dialysis Care sehingga kini memberikan rawatan dialisis secara berterusan kepada 600 orang pesakit di kesemua 12 cawangannya yang terletak di seluruh Negeri Sembilan selain satu cawangan masing-masing di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya