Kurangkan cukai eksport minyak sawit - Utusan Malaysia

Kurangkan cukai eksport minyak sawit

russia
MINYAK sawit antara komoditi yang terima tempias ekoran tekanan ekonomi Amerika Syarikat (AS) terhadap Russia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPKK) bercadang mengurangkan sementara cukai eksport minyak sawit Malaysia kepada empat hingga enam peratus daripada lapan peratus bergantung kepada perbincangan dengan Kementerian Kewangan. 

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pada masa sama, turut dicadangkan ialah melambatkan pelaksanaan mandat biodiesel Malaysia untuk membantu memenuhi permintaan global di tengah-tengah kekurangan minyak makan.

Beliau berkata, cadangan pemotongan sementara ini sedang masih di peringkat awal perbincangan dan keputusan adalah tertakluk kepada keputusan kerajaan. 

Katanya, seperti diketahui, harga Minyak Sawit Mentah (MSM) melonjak melepasi paras RM7,000 per tan sehingga mencecah paras tertinggi iaitu RM7,516 per tan berikutan tindakan Indonesia untuk mengharamkan eksport minyak sawit mulai 28 April lalu. 

“Larangan itu hanya akan ditarik balik jika harga minyak masak pukal turun kepada 14,000 rupiah seliter di seluruh Indonesia namun sehingga 6 Mei lalu, ia turun kepada 17,200 rupiah seliter daripada sekitar 26,000 rupiah seliter.

“Memandangkan Indonesia bergantung kepada eksport minyak sawit dan keputusan ini boleh memberi kesan kepada ekonomi Indonesia, larangan eksport Indonesia seperti yang dijangka telah pun ditarik balik sebagaimana yang diumumkan Presiden, Joko Widodo semalam,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Kelmarin, Jokowi memaklumkan eksport minyak sawit negara tersebut akan dibuka semula pada 23 Mei ini. 

Selepas pengumuman itu, harga sawit negara susut sedikit kepada RM6,635.50 pada Khamis berbanding RM6,679.50 yang dicatatkan sehari sebelumnya.

Zuraida berkata, biarpun Jokowi sudah menarik balik larangan itu, namun situasi penarikan semula larangan ini adalah masih terlalu awal untuk dilihat kesannya ke atas penawaran dan permintaan ke atas industri minyak sawit Malaysia. 

Katanya, pemain industri digesa menumpukan perhatian kepada pembolehubah pasaran yang mampu mencetuskan ketidaktentuan harga.

“Antara pembolehubah ini adalah dasar eksport Indonesia, pemulihan pengeluaran minyak sawit di Malaysia, pelarasan dasar biodiesel di pelbagai negara, perkembangan konflik Rusia-Ukraine dan cuaca di Amerika Syarikat dan Amerika Selatan.

“Susulan situasi ini, statistik eksport pada bulan April mungkin agak mengelirukan memandangkan permintaan antarabangsa untuk minyak makan termasuk minyak sawit, adalah jauh lebih lemah. Harga April juga mungkin lebih rendah berbanding Mac namun kekal pada paras yang belum pernah dicapai sebelum ini,” katanya. 

Beliau berkata, setakat ini, harga MSM adalah pada purata RM6,300 per tan, satu kadar yang jauh lebih tinggi daripada purata RM4,300 per tan seperti yang diunjurkan penganalisis pasaran untuk 2022. 

“Harga MSM berkemungkinan akan turun disebabkan aliran naik yang belum selesai dalam pengeluaran tandan buah segar (FFB). 

“Namun begitu, harga MSM sepatutnya kekal tinggi disebabkan beberapa faktor yang dikenalpasti seperti isu bekalan, permintaan stabil, permintaan dari China dan kenaikan harga minyak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya