KPJ Healthcare tumpu peluang berpotensi tinggi - Utusan Malaysia

KPJ Healthcare tumpu peluang berpotensi tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun menghadapi cabaran ekonomi yang tidak menentu, KPJ Healthcare akan terus melaksanakan perancangan strategi bagi memastikan prestasi mampan syarikat berdasarkan keputusan kewangannya yang kukuh pada tahun kewangan 2021.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, KPJ Healthcare mempunyai reputasi baik dalam menyampaikan rawatan kesihatan, penjagaan dan diagnosis yang canggih di negara ini dan untuk terus kekal relevan, pihaknya mesti terus mengubah dan memperbaharui fokus kumpulan.

“Pertumbuhan syarikat akan bertumpukan kepada peluang-peluang yang berpotensi tinggi dalam mengoptimumkan operasi perniagaannya, dan pelaburan inovatif, yang akan dipacu oleh pecutan transformasi digital dan penyelesaian teknologinya yang akan dibangunkan untuk mencipta nilai kepada pesakit, pemegang saham dan pemegang kepentingan utama yang lain.

“Selain daripada mengoptimumkan proses dalaman dan penyampaian penjagaan kesihatan, kami juga akan meneliti semula perniagaan semasa dan portfolio pelaburan kami di dalam dan luar negara.

“Kami juga akan mengenal pasti peluang perniagaan baharu untuk pertumbuhan dan mengukuhkan kepercayaan antara pemegang saham dan pemegang kepentingan kami,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, pandemik Covid-19 telah mempercepatkan penumpuan beberapa trend dalam industri penjagaan kesihatan, terutamanya pengguna yang mengutamakan kemudahan dan akses kepada penjagaan.

Justeru katanya, penyedia penjagaan kesihatan terkemuka melihat transformasi digital sebagai satu cara untuk menjadi lebih mesra pengguna sambil mengubah operasi, budaya dan penggunaan teknologi mereka pada masa yang sama.

“Walaupun transformasi digital ialah cara baharu untuk menyampaikan penjagaan, menambah baik proses dan memenuhi keperluan kesejahteraan pengguna, ini boleh mengambil masa yang ketara jadi kita memerlukan pendekatan yang bernas untuk memastikan penjajaran dengan matlamat akhir sambil turut menunjukkan nilai sepanjang perjalanan,” ujarnya.

KPJ Healthcare kini giat menjalankan tinjauan strategik terhadap unit-unit perniagaan dan struktur korporatnya yang juga sebahagian daripada tindakan proaktif syarikat untuk memacu penjimatan kos dan meningkatkan kecekapan merentasi semua bahagian perniagaannya.

Usaha-usaha yang dilaksanakan termasuk mengkaji data prestasi syarikat untuk mengoptimumkan kos dan sumber-sumbernya, kecemerlangan operasi dan inisiatif penambahbaikan yang berterusan yang akan membolehkan KPJ Healthcare melabur dalam peluang-peluang yang memberikan pulangan yang berterusan bagi merangsang pertumbuhan syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN