PETALING JAYA: Boost, syarikat teknologi kewangan (fintech) milik Axiata Group Berhad (Axiata) dan Kumpulan Perbankan RHB (RHB) mendapatkan lesen bank digital (DBL) dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Pada Jun tahun lalu, pakatan Boost dan RHB telah membentuk konsortium bank digital dengan Boost memegang kepentingan majoriti sebanyak 60 peratus dan bakinya, 40 peratus oleh RHB.
Pembentukan bank digital tersebut bertujuan mempelopori inovasi, meningkatkan daya saing dan mempercepatkan usaha transformasi digital negara.
Mengulas perkembangan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata yang juga Pengerusi Boost berkata, pencapaian itu amat penting bagi perniagaan teknologi kewangan Axiata dan membuktikan nilai kukuh yang
ditawarkan bersama rakan kerjasamanya, RHB Banking Group.
Kata beliau, kejayaan mendapatkan lesen di Malaysia membuka pelbagai peluang untuk memenuhi keperluan peralihan pendigitalan di seluruh perniagaan kumpulan.
“Dari satu sudut, kami kini dapat melibatkan segmen yang kurang atau tidak mendapat perkhidmatan kewangan sebelum ini, seperti komuniti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang gigih bertumbuh, untuk
merangsang pemulihan ekonomi negara.
“Pada masa yang sama, kami juga boleh memainkan peranan aktif untuk memenuhi permintaan daripada pangkalan pengguna kami yang semakin berkembang yang kini mahukan pengalaman yang lebih menyenangkan dan selamat apabila
menggunakan kemudahan perbankan dan kredit. Lesen ini juga memperkukuhkan pengalaman dan keupayaan Boost untuk meneroka peluang serantau dalam segmen pertumbuhan tinggi ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon pula berkata, penganugerahan lesen bank digital kini memenuhi wawasan Kumpulan untuk menjadi syarikat fintech spektrum penuh di rantau ini untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan.
“Sebagai salah satu daripada pelopor industri, kami menantikan perjalanan menarik ini untuk membina ekosistem digital dan kewangan yang terangkum bagi seluruh rakyat Malaysia bersama RHB menerusi bank digital ini,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Perbankan RHB, Mohd. Rashid Mohamad berkata, lesen perbankan digital yang diberikan kepada RHB dan rakan kerjasamanya Axiata, menandakan langkah penting dalam usaha Kumpulan untuk terus meningkatkan nilai yang ditawarkan dan menambah baik perkhidmatan kepada pihak-pihak berkepentingan di Malaysia.
“Pelanggan bersama kami akan mendapat kemudahan kredit secara digital dengan selamat dan pantas. Usaha ini selaras dengan komitmen jenama RHB untuk menawarkan pengalaman yang mudah, pantas dan lancar. Kami bersedia untuk memainkan peranan kami dalam merencanakan evolusi industri ke dalam era perbankan digital yang serba menarik ini, dan untuk memastikan kemajuan dapat dinikmati oleh semua pihak,” katanya. – UTUSAN