IKEA Batu Kawan buka Kafe ala Sweden baharu - Utusan Malaysia

IKEA Batu Kawan buka Kafe ala Sweden baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI: Gedung perabot terkemuka, IKEA cawangan Batu Kawan, di sini, membuka sebuah Kafe ala Sweden baharu selaras dengan visinya untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan khususnya di wilayah utara.

Pengurus IKEA Batu Kawan, Pathmalingam Arumugam berkata, konsep Kafe ala Sweden itu diwujudkan untuk mencipta suasana yang lebih mesra pelanggan setelah penat membeli-belah seharian di gedung tersebut.

“Memandangkan gedung IKEA adalah destinasi pilihan keluarga yang menyeronokkan, kami ingin sediakan sebuah tempat kepada pelanggan untuk melepaskan lelah sebelum mereka berangkat pulang dengan menikmati hidangan kopi premium serta makanan termasuk pencuci mulut yang terdiri daripada kek dan roti sesuai dengan citarasa Malaysia,” katanya selepas majlis pembukaan kafe, semalam.

Katanya, dengan wujudnya kafe tersebut jumlah pelanggan dijangka meningkat namun tidak secara mendadak kerana mengakui trend kemasukan pelanggan di gedung perabot itu adalah bergantung kepada hari-hari tertentu.

“Boleh dikatakan secara puratanya pelanggan yang berkunjung ke gedung ini pada hari minggu seperti Jumaat, Sabtu dan Ahad adalah sekitar 12,000 orang berbanding hari biasa iaitu sebanyak 6,000 orang.

“Namun, meskipun kita kini berada di dalam fasa peralihan kepada endemik, kita tidak jangka peningkatan secara mendadak dalam kalangan pelanggan kerana gedung ini adalah merupakan destinasi kunjungan dan peningkatan jumlah pelanggan ke kafe ini sudah tentu akan turut menyumbang kepada hasil jualan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Makanan IKEA Batu Kawan Muhammad Rizal Sunalim berkata, kelainan kafe tersebut antaranya tempat makan yang lebih santai selain menu makanan dan minuman yang lebih pelbagai berbanding bistro IKEA sedia ada yang lebih berkonsepkan grab and go.

“Menu di kafe ini sudah tentu lain daripada bistro sedia ada di IKEA di mana kita tawarkan kopi premium segar yang dikeluarkan dari ladang kopi di negara Uganda dan juga Sweden.

“Di kafe ini juga kita mempunyai kopi Rose Latte yang lebih mirip kepada air sirap Bandung di samping minuman kopi jenis Americano, Cappucino, Vanilla Latte, Caramel Latte dan minuman jus yang dijual pada harga yang berpatutan,” katanya.

Tambahnya, pelanggan dialu-alukan untuk mencuba menu makanan baharu seperti spageti Arabiata bebola daging kambing, pai daging lembu ala Sweden, kek, roti gulung kayu manis dan sebagainya yang semestinya memenuhi citarasa Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya