Hadieza Ikan Empuk Crispy dapat sambutan - Utusan Malaysia

Hadieza Ikan Empuk Crispy dapat sambutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRODUK makanan ringan berasaskan ikan, Hadieza Ikan Empuk Crispy yang diusahakan sepasang suami isteri di Kampung Matang Gelugor, Taiping, Perak semakin mendapat sambutan di pasaran.

Pasangan suami isteri itu, Hadieza Che Had, 34, dan Muhammad Fadli Efendi Zakaria, 37, mengusahakan makanan ringan daripada ikan belanak sehingga menjadi snek untuk kudap-kudapan.

Menurut Hadieza, krispi ikan empuk yang diusahakannya itu dibungkus dengan kemas sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran.

Katanya, krispi ikan empuk itu sesuai untuk dijadikan makanan ringan dan kaya dengan sumber protein.

“Saya baru sahaja mengusahakan produk makan ringan ini dan ia mendapat inspirasi daripada bapa angkat saya yang berasal dari Selangor.

“Ayah angkat saya datang ke rumah kami di sini beberapa bulan yang lalu. Selama berada di sini, dia melihat ikan belanak yang ditangkap oleh nelayan di sini seolah-olah tidak bernilai dan jarang mendapat tempat dihati pelanggan untuk membelinya. 

“Bermula dari situ tercetusnya idea untuk menghasilkan produk makanan baharu berasaskan ikan belanak ini dan saya tak sangka produk ini mendapat sambutan daripada pelanggan,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai produk yang dihasilkannya, Hadieza berkata, ikan empuk krispi yang dihasilkan mereka boleh dimakan begitu sahaja bermula dari bahagian ekor hingga ke bahagian kepala.

Malah ujarnya, semua bahagian ikan yang dihasilkan boleh dimakan begitu sahaja sama ada bahagian kepala, tulang sirip dan ridipnya kerana ia rapuh dan garing.

“Ikan diproses atau dimasak menggunakan periuk tekanan tinggi  sehingga tulang belulangnya menjadi rapuh.

“Setelah melalui proses itu, ikan diadun dengan rempah ratus yang menjadikannya berperisa dan rangup, sebab itu makanan ringan ini empuk,” katanya.

Menurutnya, pelanggan hanya perlu menggoreng krispi ikan keluarannya terlebih dahulu dan boleh terus dihidangkan bagi menikmati kelazatannya.

“Krispi ikan empuk ini amat sesuai untuk dimakan seisi keluarga atau dihidangkan kepada tetamu yang datang bertandang ke rumah sebagai snek makanan ringan yang berprotein,” katanya.

Hadieza turut bercadang untuk mempelbagaikan krispi ikan empuk yang dihasikannya pada masa akan datang.

Ujarnya, dia mahu menambah pelbagai perisa seperti ikan empuk krispi berperisa madu dan sebagainya dalam usahanya untuk mengembangkan dan memperkenalkan produknya ke seluruh negara.

“Kami memang telah ada perancangan untuk mempelbagaikan perisa dalam produk ini agar pelanggan dapat menikmati keenakan dalam berbagai perisa.

“Antara perisa yang akan dihasilkan ialah ikan empuk krispi rasa madu dan berempah,” katanya.

Dari segi pemasaran pula, Hadieza berkata, dia menggunakan platform media sosial seperti Facebook  bagi memperkenalkan dan mempromosikan produknya kepada para pelanggan.

“Kebanyakan pelanggan mengetahui ikan empuk krispi yang kami hasilkan ini melalui paparan muat naik di media sosial Facebook.

“Ada juga pelanggan setempat yang tahu mengenai produk kami ini berdasarkan dari penceritaan dari mulut ke mulut.

“Alhamdulillah setakat ini pelanggan memberikan reaksi yang positif terhadap produk yang kami hasilkan dan ada yang memberi cadangan agar kami mempelbagaikan rasa perisanya,” katanya.

Menurut Hadieza,  pada masa ini dia hanya mampu menghasilkan 80 pek ikan empuk krispi sehari bagi memenuhi kehendak pelanggannya dan dijual dengan harga RM6 satu pek dan  boleh membuat tempahan terus melalui pada nombor 011-36425613. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya