BENGALURU: Harga emas tidak berubah pada Khamis, berikutan dolar Amerika Syarikat (AS) yang stabil dan hasil Perbendaharaan yang tinggi mempengaruhi jongkong, dengan prospek logam itu telah dilemahkan oleh pendirian Rizab Persekutuan yang agresif terhadap inflasi.
Emas spot kekal pada AS$1,816.39 (RM7,997.20) seauns manakala niaga hadapan emas AS mengenepi 0.1 peratus lebih rendah kepada AS$1,813.50 (RM7,984.48).
Penganalisis pasaran kanan City Index, Matt Simpson berkata, harga penutupan harian emas secara berkesan mendampingi garis arah aliran yang diunjurkan daripada paras rendah Mac 2020 berikutan pandemik.
“Lonjakan tidak menentu dalam sehari di kedua-dua belah garis arah aliran utama itu tidak mempunyai keyakinan untuk mendorong langkah yang mampan,” katanya.
Bullion kelihatan mengnjejaki pergerakan harian dalam dolar AS dan penanda aras hasil Perbendaharaan AS 10 tahun dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan paras tertinggi 20 tahun dalam dolar AS mendorong harga emas ke paras terendah dalam tempoh lebih tiga bulan pada Isnin.
Dolar AS yang lebih kukuh menjadikan emas kurang menarik bagi pembeli yang memegang mata wang lain.
Prestasi dan unjuran emas juga berada di bawah pendirian dasar monetari Fed yang agresif terhadap kenaikan kadar apabila bank itu mendesak untuk mengekang inflasi yang melambung tinggi.
Kadar faedah jangka pendek AS yang lebih tinggi dan hasil bon meningkatkan kos peluang untuk memegang jongkong, yang tidak menghasilkan.
Pengerusi Fed, Jerome Powell sebelum ini berjanji bahawa bank pusat AS akan menaikkan kadar faedah setinggi yang diperlukan untuk ‘membunuh’ lonjakan inflasi yang katanya mengancam asas ekonomi.
“Aliran ETF (dana dagangan bursa) memuncak pada 27 April dan sejak itu kami telah melihat aliran keluar bersih kerana pelabur telah hilang keyakinan terhadap logam dan kejatuhan dalam pasaran saham hanya menambah satu lagi sebab bagi sesetengah pelabur untuk menukar emas mereka kepada tunai,” kata Simpson.
Perak spot naik 0.1 peratus kepada AS$21.41 (RM94.26) seauns, manakala platinum turun 0.9 peratus kepada AS$927.37 (RM4,083.02), dan paladium susut 0.6 peratus kepada AS$2,004.58 (RM8,825.76). – AGENSI