Boost, RHB tingkat perbankan digital - Utusan Malaysia

Boost, RHB tingkat perbankan digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Boost, syarikat teknologi kewangan (fintech) milik Axiata Group Berhad (Axiata) dan Kumpulan Perbankan RHB (RHB) mencapai kejayaan penting selepas mendapatkan lesen bank digital (DBL) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata dan Pengerusi Boost, Datuk Izzaddin Idris berkata, perniagaan perbankan digital tersebut menepati aspirasi Axiata untuk menyokong transformasi digital Malaysia sekali gus melanjutkan usaha kumpulan untuk meningkatkan keterangkuman digital di peringkat serantau.

“Kejayaan mendapatkan lesen di Malaysia membuka pelbagai peluang untuk memenuhi keperluan peralihan pendigitalan di seluruh perniagaan kami. Dari satu sudut, kami kini dapat melibatkan segmen yang kurang atau tidak mendapat perkhidmatan kewangan sebelum ini seperti komuniti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang gigih bertumbuh, untuk merangsang pemulihan ekonomi negara. 

“Pada masa sama, kami juga boleh memainkan peranan aktif untuk memenuhi permintaan daripada pangkalan pengguna kami yang semakin berkembang yang kini mahukan pengalaman yang lebih menyenangkan dan selamat apabila menggunakan kemudahan perbankan dan kredit. 

“Lesen ini juga memperkukuhkan pengalaman dan keupayaan Boost untuk meneroka peluang serantau dalam segmen pertumbuhan tinggi ini,” katanya dalam kenyataan.

Pada Jun tahun lepas, pakatan antara Boost dan RHB untuk membentuk konsortium Bank Digital telah diumumkan dengan Boost memegang kepentingan majoriti 60 peratus manakala RHB memiliki baki 40 peratus dalam Bank Digital yang bertujuan mempelopori inovasi, meningkatkan daya saing dan mempercepatkan usaha transformasi digital negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon memberitahu, bank digital akan menjadi pemangkin yang meluaskan keterangkuman kewangan, sejajar dengan misi teras kumpulan untuk memperkasakan dan menyokong keperluan kewangan pengguna dan peniaga.

“Penganugerahan lesen bank digital kini memenuhi wawasan kami untuk menjadi syarikat fintech spektrum penuh di rantau ini untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan. 

“Sebagai satu daripada pelopor industri, kami menantikan perjalanan menarik ini untuk membina ekosistem digital dan kewangan yang terangkum bagi seluruh rakyat Malaysia bersama RHB menerusi bank digital ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya