PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan perkhidmatan bayaran dam dan korban melalui aplikasi THiJARI untuk para bakal jemaah haji yang akan melaksanakan ibadah haji pada musim haji tahun 1443H/2022.
Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi, Mohamed Ameen Abdul Wahab memaklumkan, bakal haji boleh membuat pembayaran dam sebelum ke tanah suci, seiring dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji yang menggalakkan pelaksanaan bayaran pada kadar yang ditentukan sebelum sampai di tanah suci.
“Pembayaran dam yang diterima ialah untuk Dam Haji Tamattu’ dan Dam Haji Qiran di mana daging Dam ini akan diagihkan kepada penduduk yang layak di Mekah, manakala daging korban akan diagihkan oleh Bank Pembangunan Islam (IDB) kepada penduduk Islam yang layak terutama di benua Afrika.
“Pembayaran dam adalah pada kadar RM590 bagi seekor kibas manakala pembayaran korban ialah pada kadar RM955.80 untuk seekor kibas serta RM5,900 untuk seekor lembu.
“Pembayaran dam dan korban ini boleh dilaksanakan melalui THiJARI bermula hari Isnin, 9 Mei 2022 bersamaan 7 Syawal 1443H,” katanya dalam kenyataan.
Bakal haji dan pendeposit juga boleh membuat bayaran di di mana-mana pejabat TH Cawangan di seluruh negara.
Pelaksanaan korban ini adalah kerjasama TH dengan IDB yang berpangkalan di Jeddah. Ia juga buat julung kalinya bukan sahaja dibuka kepada bakal-bakal haji tetapi kepada semua pendeposit TH.
Perkhidmatan korban ini merupakan satu lagi perkhidmatan baharu yang ditawarkan TH kepada pendeposit melalui THiJARI.
Untuk menggunakan perkhidmatan pembayaran dam dan korban, bakal-bakal haji dan pendeposit TH perlu mendaftar sebagai pengguna THiJARI melalui pautan www.thijari.com.my yang amat mudah dan selamat.
Setakat ini, jumlah pengguna THiJARI telah mencecah hampir 1.5 juta dengan tawaran pelbagai perkhidmatan dalam talian antaranya pindahan melalui FPX, permohonan pembukaan akaun TH, rayuan haji, kemaskini maklumat peribadi dan yang terbaharu adalah Semakan Terimaan Tawaran Haji serta banyak lagi. – UTUSAN