Awang Adek letak jawatan di PRG untuk sertai SC - Utusan Malaysia

Awang Adek letak jawatan di PRG untuk sertai SC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif PRG Holdings Berhad (PRG), Datuk Dr. Awang Adek Hussin meletak jawatan daripada lembaga pengarah kumpulan berkuat kuasa 30 Mei 2022, untuk mengambil alih peranan baharu sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PRG berkata, peletakan jawatan Awang Adek adalah berikutan pelantikan beliau sebagai pengerusi eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia baru-baru ini yang berkuat kuasa 1 Jun 2022.

Oleh itu, beliau telah memutuskan untuk meletakkan jawatan dan melepaskan peranan dan tanggungjawabnya bersama PRG.

SC telah mengumumkan pada 28 April lalu mengenai peletakan jawatan Datuk Syed Zaid Albar sebagai Pengerusi Eksekutif SC, yang akan berkuat kuasa pada 31 Mei 2022 dan tempat beliau akan digantikan oleh Awang Adek.

Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan PRG, Datuk Lua Choon Hann berkata, Lembaga Pengarah mengucapkan terima kasih kepada Awang Adek atas banyak sumbangan beliau terhadap kumpulan selama hampir lima tahun berkhidmat di sini.

“Beliau mula dilantik sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif PRG pada 18 Ogos 2017 dan telah memainkan peranan penting dalam membimbing syarikat ke arah mempunyai tadbir urus korporat yang baik dan amalan kemampanan.

“Kami mendoakan kejayaannya dalam usaha baharunya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beberapa sorotan mengenai jawatan penting beliau sebelum ini termasuk sebagai Pengarah di Permodalan Nasional Berhad (PNB), Pengerusi di Institut Penyelidikan PNB, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tenaga Nasional Berhad serta Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar.

PRG ialah sebuah syarikat yang terlibat terutamanya dalam perniagaan pembangunan hartanah, pembinaan, pembuatan dan pertanian. Segmen pembuatannya, Furniweb Holdings Limited disenaraikan di papan GEM Bursa Saham Hong Kong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya