AEON catat untung bersih RM28.1 juta - Utusan Malaysia

AEON catat untung bersih RM28.1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AEON CO. (M) Bhd. (AEON) meneruskan momentum pertumbuhan bagi suku pertama tahun kewangan 2022 dengan mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM28.1 juta, pertumbuhan 27.7 peratus berbanding RM22 juta yang diperoleh pada suku sama tahun lalu.

Pencapaian itu didorong margin runcit yang lebih baik dan pengurusan kos secara berdisiplin.

Pendapatan daripada segmen perkhidmatan pengurusan hartanah pula berjumlah RM144.4 juta, iaitu 7.4 peratus lebih tinggi berbanding catatan suku yang sama tahun lepas sebanyak RM134.5 juta. 

Peningkatan ini datangnya daripada penambahbaikan komisen jualan dan sewaan ruang sementara yang diterima, seiring dengan sentimen pelanggan untuk kembali ke pusat membeli-belah secara fizikal.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin berkata, pencapaian dicapai melalui kerjasama penuh ekosistem AEON daripada AEON People kepada pembekal, rakan kongsi perniagaan dan rakan penyewa, agensi dan kementerian yang berkaitan, serta para pelanggan yang merupakan teras utama kekuatan kami.

Jelasnya, AEON sentiasa berusaha untuk menambah baik tahap perkhidmatan kepada para pelanggan kerana mereka merupakan nadi kepada semua inisiatif yang kami laksanakan. 

“Kami melancarkan kempen #AEONHargaJamin Disember tahun lalu hingga Februari 2022 dan menerusinya, kami memberikan perlindungan dan jaminan harga terhadap inflasi untuk lebih 500 barangan keperluan yang merangkumi 45 peratus daripada barangan yang diperlukan oleh para pelanggan setiap kali mereka membeli-belah di AEON. 

“Kami akan melancarkan satu lagi kempen inflasi bersama-sama dengan rakan penyewa kami pada Jun ini untuk menangani keresahan para pengguna,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Shafie berkata, AEON juga terus melangkah secara progresif ke arah perkembangan positif dalam perjalanan kelestarian antaranya dengan kenaikan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan berkuat kuasa pada 1 Januari 2022, lebih awal daripada garis masa disyorkan Kerajaan. 

“Ini mencerminkan tanggungjawab AEON dalam mengutamakan kebajikan pekerja sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kelestarian,” ujarnya.

Melangkah ke hadapan, AEON akan memperkembangkan lagi model perniagaan Runcit Baharu yang berasaskan permintaan dan selaras dengan pasaran semasa yang dinamik, corak penggunaan dan perilaku para pelanggan. 

Teknologi, pendigitalan dan inovasi menjadi faktor utama untuk AEON dalam mengadaptasi transformasi digital. Sehingga kini ianya telah berjaya mendatangkan hasil ketara menerusi platform atas talian, myAEON2go. 

AEON akan turut mempertingkatkan kecekapan digital di kalangan pelanggannya dan akan memastikan kelancaran strategi Online-Merge-Offline (OMO). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya