KUALA LUMPUR: Yayasan Axiata, sebuah inisiatif pembangunan negara dan program bertanggungjawab sosial korporat Axiata Group Berhad (Axiata Group) memperuntukkan dana RM115 juta bagi tempoh 10 tahun akan datang untuk pelbagai inisiatif di bawah teras ilmu.
Inisiatif itu bagi memastikan pendidikan berkualiti dapat diperolehi secara saksama dan inklusif disamping terus memupuk bakat muda melalui Axiata Young Talent Programme.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Axiata, Mohamad Kamal Nawawi berkata, peruntukan dana itu adalah kesinambungan ikrar daripada Axiata Group sebanyak RM100 juta untuk 10 tahun bermula pada 2010 hingga 2020.
“Kami telah berbincang dengan ahli lembaga Axiata dan meminta mereka untuk menyambung ikrar itu pada tahun ini dan mereka bersetuju memberikan dana sebanyak RM115 juta untuk 10 tahun akan datang.
“Bagaimanapun, dana itu diperuntukkan untuk teras ilmu sahaja manakala dua lagi teras iaitu alam sekitar dan pelaburan komuniti dicagarkan dari tahun ke tahun,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, semalam.
Mohamad Kamal memaklumkan, dengan peruntukan tersebut, pihaknya akan mengembangkan lagi program yang ditawarkan dalam teras ilmu kepada beberapa program lain termasuk Program Kepimpinan Digital Axiata untuk pelajar-pelajar universiti bagi memberi pemimpin masa depan kemahiran digital yang diperlukan untuk menyumbang kepada negara.
Selain itu, beliau memaklumkan, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan pihak ketiga untuk melihat program selanjutnya yang boleh dilaksanakan untuk pelajar-pelajar sekolah.
“Di bawah teras ilmu, kami turut mempunyai Dana Ekuiti dalam Pendidikan dan Back To School merupakan antara program yang dilaksanakan menggunakan dana itu.
“Melangkah ke hadapan, kami akan melancarkan Dana Biasiswa dengan sasaran untuk mencapai kira-kira 40 pelajar daripada golongan berpendapatan rendah yang berkelayakan, setiap tahun bagi membantu mereka melanjutkan pelajaran di universiti-universiti tempatan,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Axiata Group, Datuk Izzaddin Idris berkata, misi Yayasan Axiata adalah untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat diperolehi secara saksama dan inklusif oleh semua pelajar melalui Dana Ekuiti dalam Pendidikannya.
“Program Back To School merupakan satu titik permulaan di antara pelbagai inisiatif yang telah diperuntukkan di bawah dana ini. Kami percaya, pengagihan bantuan dan sokongan harus dilakukan melalui pendekatan yang holistik, tersusun dan mampan, di mana kepentingan pelajar menjadi teras inisiatif kami.
“Yayasan Axiata akan terus mengenal pasti peluang yang ada untuk kami terus menyumbang,” ujarnya. – UTUSAN