PETALING JAYA: Widad Business Group Sdn. Bhd. (WBG), sebuah konglomerat dengan pelbagai kepentingan perniagaan, akan berkembang ke dalam industri pertahanan dengan menjalin pakatan dengan HAVELSAN Hava Elektronik Sanayi ve Ticaret A.S. (HAVELSAN), pemaju sistem ketenteraan terbesar Turki untuk pembelian enam simulator payung terjun pertama di Malaysia.
Simulator payung terjun tersebut digunakan oleh briged komando dan pasukan khas Turki, yang terbukti dapat mengurangkan kos latihan pasukan payung terjun dengan ketara.
Selain tentera, Simulator Payung Terjun HAVELSAN juga boleh digunakan untuk tujuan awam, bomba, pasukan polis dan sebagainya.
Pengarah Eksekutif WBG, Datuk Cham Nong Aliap berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan HAVELSAN bagi produk mereka dalam teknologi Simulasi dan Latihan dan membawa kepakaran firma terkemuka dunia dalam bidang ini ke Malaysia.
Ujarnya, terdapat perkhidmatan hebat dan peluang pengurangan kos untuk negara, khususnya mengenai kos pesawat dan logistik di mana latihan pasukan payung terjun yang lazimnya melibatkan pengangkutan keseluruhan pasukan penerjun ke tapak latihan dan kembali ke pangkalan mereka.
“Mengikut anggaran awal kami, penggunaan sistem sedemikian akan dapat mencapai penjimatan kos yang ketara untuk latihan dalam sektor pertahanan Malaysia.
“Prospek segmen perniagaan baharu ini kelihatan menggalakkan, terutamanya di rantau Asia Pasifik di mana telah dikenal pasti HAVELSAN sebagai antara pasaran yang paling pesat berkembang.
“Ini hanyalah fasa pertama kerjasama kami dengan mereka, dan HAVELSAN mempunyai beberapa sistem lain yang berharga berpatutan namun unggul dari segi teknologi yang mana kami jangka boleh membawa manfaat luar biasa di sini,” katanya dalam kenyataan.
Kedua-dua pihak telah menandatangani Memorandum Kerjasama pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini semalam.
Mengulas mengenai kerjasama dengan WBG, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus Besar HAVELSAN, Dr. Mehmet Akif Nacar memberitahu, pihaknya telah secara aktif mengikuti pelbagai projek untuk sektor ketenteraan, awam dan swasta Malaysia, malah menubuhkan Pejabat Wilayah di Kuala Lumpur.
“Malaysia merupakan hab penting untuk HAVELSAN di rantau Asia Tenggara, oleh itu kami berbesar hati telah menemui WBG rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk meluaskan jangkauan kami dan meningkatkan hubungan kami di negara ini,” ujarnya. – UTUSAN