Vios GR-S bukan hanya bumper sports

Vios GR-S, kereta sedan sporty mampu milik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebanyakan orang muda mula merasai keperluan membeli sebuah kereta jenis sedan untuk memulakan kehidupan sebagai seseorang yang baru berkeluarga, tetapi naluri terhadap pengubahsuaian kereta masih menebal. Ada di antara mereka yang tanpa disedari telah memasang aksesori-aksesori sports sehinggakan nilainya melebihi harga asas kereta itu sendiri.

Menyedari hakikat itu, Toyota memperkenalkan edisi Vios GR Sport (GR-S), khas untuk anda yang inginkan kereta dinaik taraf tetapi mampu milik, namun masih sesuai untuk kehidupan berkeluarga.

Vios pada asalnya adalah sebuah kereta segmen B, sebuah sedan empat pintu dan selalunya kereta dalam segmen ini adalah untuk mereka yang sudah berkeluarga. Sementara itu, Gazoo Racing pula adalah bahagian Toyota yang lebih banyak melibatkan perlumbaan. Sama seperti Mitsubishi dengan Ralli Art, Proton (R3), BMW (M sports) dan sebagainya. Toyota semakin terkenal dengan penjenamaan Gazoo Racing apabila menjalankan acara perlumbaan tahunan yang memperkenalkan beberapa selebriti tempatan sebagai barisan pelumba yang menyertai kejohanan perlumbaan satu model ini (One Make Race).

toyota vios
SPOILER belakang berbentuk mini ducktail yang menyerlahkan lagi sisi sporty kereta keluaran Toyota baharu ini.

PENAMPILAN

Vios GR-S ini tidak dapat disamakan dengan model Yaris GR kerana model Vios ini lebih kepada menaik taraf kosmetik pada Toyota model G, sementara Yaris GR lebih kepada replika jentera perlumbaan rali dunia pasukan Toyota. 

Walau bagaimanapun, Vios GR-S bukan hanya bumper sports yang menjadi penghias wajah, malah Toyota membekalkan suspensi yang ditala, rim bersaiz 17 dilengkapi tayar berjenama TOYO, dan beberapa fungsi elektronik seperti Mod Sports, Biasa dan Ekonomi, spoiler belakang berbentuk mini ducktail, serta tombol pintu yang kontras dengan warna badan kereta.

Lambang atau emblem GR turut dipasang pada kiri kanan badan kereta serta satu di bahagian belakang atau bonet kereta. Logo eksklusif ini turut disulam pada penyandar kepala tempat duduk penumpang hadapan dan pemandu.  Sementara itu, permaidani kaki depan dan belakang turut terpapar logo GR. Tempat duduk hadapan juga merupakan jenis semi bucket iaitu seolah-olah tempat duduk kereta lumba. Menggunakan fabrik baldu dan kulit untuk kerusi hadapan dan hanya kulit untuk tempat duduk penumpang belakang. Jahitan benang merah pada tempat duduk dilihat menyerlahkan lagi imej ‘perlumbaan’ dan juga dilihat penggunaannya pada tombol gear.

Sayang sekali, Toyota tidak menghadiahkan pemilik edisi GR-S ini dengan papan pemuka yang tampak sporty atau mewah. Ia seolah serupa dengan variasi Vios G. Begitupun, stereng Vios GR Sport ini mempunyai paddle shifter bagi membolehkan pemandunya menukar gear ala kereta lumba F1. Bagi saya, kelemahan ketaranya apabila papan pemuka radio dan panel meter tidak mempunyai pelindung cahaya matahari. Ketika pemanduan dilakukan pada waktu tengah hari yang terik, sinaran matahari akan menggelapkan panel meter sehingga ada ketikanya pemandu gagal melihat penunjuk kelajuan dan informasi kenderaan. 

KEADAAN papan pemuka yang kemas dan semestinya memudahkan pemanduan

PEMANDUAN

Seperti yang diberitahu, Vios GR-S lebih menumpukan estetika kosmetik daripada penambahan kuasa enjin atau pengendalian. Ia bukan versi TRD (Toyota Racing Department), malah ia lebih memberikan pemilik merasai sedikit imej perlumbaan pada kereta masing-masing.

Begitupun, sistem menghidupkan enjin menggunakan hanya satu suis, dan seterusnya anda dihadiahkan dengan gear 10 kelajuan! Vios GR-S mempunyai pemetaan transmisi terkini yang menampilkan 10 gear maya yang hanya boleh berfungsi dalam mod Sport. Jika ingin dibandingkan dengan varian lain yang standard, hanya dibekalkan dengan pemetaan tujuh gear maya sahaja.

Suspensi talaan sport yang turut menjadi tarikan utama bagi varian GR-S ini ternyata agak baik dan bagi saya, ia terletak dalam ukuran pertengahan. Tidak terlalu lembut seperti kebanyakan variasi standard, tetapi tidak juga terlalu keras sehingga melambung-lambung apabila melalui permukaan jalan raya yang tidak rata. Tahap keselesaan penumpang dalam kereta ternyata masih di tahap yang boleh diterima.

Variant GR-S ini juga tidak melupakan aspek keselamatan yang terdapat pada Vios varian G dan E. Toyota Safety Sense (TSS) juga disediakan terutama dengan ciri-ciri berikut:

LDA – sensor yang memberi amaran terhadap pengemudian kereta anda yang ‘hanyut’ ke laluan atau lorong lain.

PCS – sensor yang memberi amaran terhadap jarak kereta anda dengan objek (atau kereta) di hadapan.

BSM – sensor yang memberi amaran terhadap kewujudan objek atau kenderaan di bahagian kiri dan kanan yang tidak dapat dikesan oleh cermin sisi atau cermin pandang belakang (blind spot).

Kamera papan pemuka juga didatangkan sekali dengan varian ini, dan sistem kamera ini akan merakam secara automatik apabila terdapat sebarang gegaran, hentakan yang tidak normal ketika dalam pemanduan anda. Kerap kali juga kamera ini menyala dan merakam dengan sendirinya apabila saya terlanggar halangan atau lubang atau permukaan tampalan jalan yang tidak rata. Fungsi ini sudah tentunya boleh digunakan kelak seandainya memerlukan bukti-bukti tentang insiden yang mungkin menyebabkan kemalangan jalan raya.

Seperti varian lain, Vios GR-S dilengkapi dengan tujuh beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (VSC), Kawalan Cengkaman (Traction Control), Bantuan Mula Daki (Hill-start assist control), Kawalan Pemberhentian Kecemasan (Emergency Stop Signal) dan sensor parkir depan dan belakang.

KESIMPULAN

Sekali lagi, perbandingan tidak dapat dibuat dengan varian Yaris GR-S.  Yaris ternyata dipersiapkan oleh TRD sebagai kereta yang serba lengkap dengan penambahan kuasa dan sistem elektronik dan keselamatan manakala Vios GR-S ini ternyata lebih kepada penambahan baik ke atas faktor luaran, dan sedikit naik taraf pada sistem elektroniknya. 

Penggunaan kerusi semi bucket serta ciri-ciri sporty yang dapat dilihat pada luar dan dalam varian ini jelas menunjukkan bahawa Toyota faham akan keinginan golongan kelas pertengahan yang sedikit sebanyak menginginkan variasi kereta sport tetapi tidak mempunyai modal untuk pengubahsuaian.

Bagi saya, ini adalah satu tindakan yang patut dipuji kerana Toyota mendengar kehendak pelanggannya dan juga berusaha keras untuk ‘merampas’ takhta Honda yang sebelum ini kerap mendapat perhatian dan keinginan para pemilik kereta daripada golongan umur awal 20-an ke 40-an. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya